PEMAJU perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencadangkan dividen peringkat pertama dan akhir sebanyak 1.45 sen setiap saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, dividen tertakluk kepada persetujuan pemegang saham LBS pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-21.
Menurutnya, jumlah pembayaran dividen sebanyak RM22.6 juta.
"Dividen akan dibayar pada 22 September 2021 kepada pemegang saham seperti yang tersenarai di dalam Rekod Pemegang Saham pada 27 Ogos 2021.
"Kami berbesar hati untuk memberi penghargaan ini kepada pemegang saham di atas kepercayaan mereka terhadap LBS,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, LBS sentiasa konsisten untuk mengekalkan pembayaran dividen dan mempraktikkan amalan itu dalam meneruskan usaha mengembangkan perniagaan syarikat.
"Dividen polisi kami adalah 30 peratus berdasarkan keuntungan. Kami berharap segala perancangan strategik dapat dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.