PETALING JAYA - Akibat terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa sanggup menyerahkan gambar dan video lucah menerusi media sosial sebelum diugut untuk disebarkan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebahagian besar kes membabitkan sindiket yang beroperasi menggunakan media sosial selain suspek yang dikenali iaitu bekas suami atau teman lelaki.
Menurutnya, modus operandi jenayah ini adalah memperdaya mangsa (lelaki atau wanita) di laman sosial seperti WhatsApp, Wechat, Facebook, Michat dan lain-lain.
"Penjenayah ini akan merekod video serta gambar lucah mangsa agar mereka boleh memeras ugut mangsa untuk menyebarkannya.
"Suspek kemudian akan meminta wang daripada mangsa, sekiranya mangsa gagal menyerahkannya, gambar atau video lucah mangsa itu akan disebarkan di media sosial, ahli keluarga mahu pun rakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menerima sebanyak 21 laporan sejak Januari lalu di mana dua kes berjaya dituduh dan selebihnya masih dalam siasatan.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti 12 mangsa yang terlibat membuat pembayaran kepada suspek berjumlah RM33,788.88.
Justeru, polis mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat sedemikian.
"Masyarakat perlu lebih bijak menggunakan media sosial dan ingatlah bahawa aksi langsung di media sosial mudah dirakam oleh pihak kedua. Jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali di media sosial," katanya.