SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan Kongres Nasional Tahunannya yang dijadualkan pada 4 hingga 6 Jun ini dengan perubahan format secara dalam talian sepenuhnya.
Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini berbeza dengan perancangan asal parti itu yang akan menganjurkan secara bersepadu sebagaimana yang diumum ketika sidang akbar pada 3 Mei lalu.
"Kongres Nasional Tahunan PKR akan dimulakan dengan kongres sayap-sayapnya iaitu Kongres Wanita PKR diadakan pada 4 Jun disusuli dengan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 5 Jun dan diakhiri dengan Kongres Nasional PKR pada 6 Jun.
"Kesemua 2,400 orang perwakilan dan pimpinan PKR akan menyertai kongres ini menerusi aplikasi zoom dari rumah masing-masing dan tidak berlaku perkumpulan fizikal.
"Pihak media dan orang awam boleh mengikuti persidangan ini menerusi siaran langsung di laman media sosial PKR,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Nik Nazmi yang merupakan Ketua Setiausaha Pengelola PKR berkata, langkah berkenaan diambil selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) oleh kerajaan disebabkan jangkitan Covid-19 yang semakin tidak terkawal.
Beliau berkata, ia juga sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan persidangan diadakan.
"PKR telah menulis kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung keputusan ini selain turut memaklumkan keputusan terbaharu ini berhubung perubahan pelaksanaan kongres kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"PKR dengan ini menyeru kepada semua pihak tidak kira status sosial yang dipegang saudara saudari sama ada ‘kayangan’ atau marhaen untuk terus mematuhi SOP dan bertanggungjawab atas setiap tindakan kita dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya.