SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemandu lori, Mohd Khairi Khamis berjaya membawa pulang kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V 1.8L E menerusi peraduan MR. D.I.Y x MyDebit Je yang dianjurkan oleh peruncit barangan rumah, MR D.I.Y Group (M) Bhd (MR D.I.Y).
MR D.I.Y berkata, selain Mohd Khairi, seramai 358 pemenang paraduan itu berjaya membawa pulang pelbagai hadiah menarik dan eksklusif yang bernilai RM250,000.
Menurutnya, mereka merupakan pelanggan bertuah yang membeli-belah di rangkaian MR D.I.Y yang terkenal seperti di MR D.I.Y, MR TOY dan MR DOLLAR di seluruh negara.
"Tiga pemenang tempat pertama peraduan itu berjaya membawa pulang motosikal Yamaha Y15ZR, diikuti lima pemenang tempat kedua yang menerima telefon pintar iPhone 12 Pro Max 128 GB manakala 10 pemenang tempat ketiga membawa pulang televisyen Samsung 50” 4K Smart UHD.
"Seramai 340 pembeli lain pula diberikan baucar tunai RM200 untuk membeli-belah di MR. D.I.Y,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, MR D.I.Y berkata, peraduan itu diadakan dengan berkolaboratif bersama MyDebit dan terbuka kepada semua pelanggan yang mengunjungi rangkaian perniagaannya di seluruh negara bermula 1 November hingga 31 Disember 2020.
"Mereka hanya perlu membelanjakan serendah RM30 sahaja dalam satu resit dengan kad ATM MyDebit, imbas kod QR dan menjawab soalan yang mudah untuk menyertai peraduan ini,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y Group, Andy Chin berkata, peraduan ini diadakan untuk menghargai rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepada jenama berkenaan.
"Dengan menawarkan pelbagai hadiah yang menarik, peraduan ini berjaya mendapatkan sokongan yang menggalakkan dalam kalangan pembeli. Kami berharap peraduan ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.