Pulau Pinang kena scam: Khairy

Iklan
Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Derma dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong kepada Pulau Pinang adalah tawaran palsu.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan dan carian telah dilakukan pihaknya mendapati syarikat berkenaan, Xintai Development Enterprise LTD tidak wujud.

"Semakan kami dengan Sinovac di China juga mendapati pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dan bukti penerimaan daripada syarikat berkenaan," katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, wanita yang dikatakan sebagai pegawai Sinovac menguruskan pasaran Asia, Coco Chang juga menafikan perkara tersebut.

"Beliau menafikan telah dihubungi oleh Xintai bagi tujuan tersebut," katanya.

Iklan

Khairy turut mendedahkan pihaknya juga menerima permohonan sumbangan derma dua juta dos vaksin Sinovac kepada Sabah oleh syarikat berkenaan.

"Pegawai mengingatkan saya bahawa kami menerima surat berkenaan pada 9 Februari lalu daripada Yong Chee Kong yang mendakwa dirinya sebagai Pengarah Urusan Xintai.

"Apa yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semalam (Selasa) adalah palsu dan scam," katanya.

Sehubungan itu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah diarahkan untuk membuat laporan polis.

"Kita nak tahu siapa Chee Kong ini. Saya tidak kenal dia, saya tidak tahu apa tujuannya, jadi biar polis siasat kerana mengelirukan," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau juga telah menghubungi Kon Yeow dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng agar tidak mempolitikkan PICK dengan"sampah".

"Surat ini adalah asas untuk menuduh kerajaan Persekutuan. Tuduhan ini sangat serius dan saya nafikan sekeras-kerasnya.

"Surat tawaran ini pun tiada kepala surat yang sempurna," katanya sambil melahirkan rasa kekecewaan atas tuduhan dilemparkan Pulau Pinang.

Tegasnya, kerajaan Persekutuan tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat sumbangan vaksin namun harus berdasarkan saluran yang betul.

"Vaksin ini adalah barangan terkawal. Bukannya seperti kita boleh beli t-shirt di Shopee," katanya.

Tambahnya, ramai pihak mendakwa mempunyai akses dengan pengeluar vaksin, namun gagal membuktikannya.

"Sama seperti Yayasan Sekhar yang tidak mempunyai bukti urusan pembelian pembelian vaksin Sinovac untuk disumbangkan," katanya.

Pada sidang akhbar itu, Khairy turut mendedahkan salinan surat Chee Kong kepada Kon Yeow.

Antara isi kandungan surat tersebut adalah mendakwa Xintai telah berhubung dengan Sinovac dan membayar deposit AS$2 juta sebelum Tahun Baru Cina lalu sebagai tanda minat dengan vaksin berkenaan pada harga yang dipersetujui.

Sekiranya rundingan antara Pulau Pinang, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sinovac berjaya, syarikat itu akan membayar jumlah keseluruhan bagi pihak kerajaan negeri.

Kata Chee Kong, kesemua transaksi dibuat menerusi akaun HSBC persendiriannya di Hong Kong.

Sebelum ini, Pulau Pinang menuntut kerajaan meluluskan segera sumbangan tersebut bagi kegunaan rakyat di negeri itu.