SHAH ALAM - DAP mengecam pencerobohan Israel terhadap Palestin dan meminta segera menghentikan tindakan ketenteraan di kedua-dua belah pihak untuk mengejar perdamaian.
Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia, Teo Nie Ching berkata, DAP menyokong seruan agar pihak berkuasa Israel mengakhiri pendudukannya di Palestin.
Malah parti itu meminta Israel agar segera menghentikan pengusiran keluarga Palestin dari kediaman mereka di Jerusalem Timur yang kebanyakannya tinggal di kawasan itu selama beberapa dekad.
Menurut Nie Ching, ia termasuk menghentikan serangan pasukan keselamatan Israel di perkarangan Masjid Al Aqsa yang hanya mencetuskan tunjuk perasaan namun mendapat tindakan keras oleh polis Israel dan anggota keselamatan.
"Israel sebagai kekuatan ketenteraan yang dominan mesti berhenti menggunakan tindakan ketenteraan selanjutnya.
"Jelas bahawa Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah menggunakan sejumlah besar kekuatan yang tidak setimpal dengan bahaya ditimbulkan oleh serangan balas dari kumpulan penentang Palestin.
"Kami (DAP) menggesa pengekangan dari semua pihak. Kedua-dua pihak mesti mengejar kedamaian dan bukan keganasan, sebagai jalan ke depan," katanya dalam sidang media secara dalam talian mengenai isu Palestin menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.
Nie Ching berkata, DAP turut bergabung dengan kumpulan media dan wartawan antarabangsa dalam mengutuk serangan udara IDF di sebuah bangunan pangsapuri di Kota Gaza yang menempatkan Al Jazeera, Associated Press dan pejabat organisasi media lain di wilayah tersebut.
"Ini kerana, orang awam tidak boleh menjadi sasaran tindakan ketenteraan tanpa mengira objektif ketenteraan yang sedang dicapai," katanya.
Sehubungan itu, DAP mendesak agar pihak terbabit agar segera menghentikan semua tindakan ketenteraan dan kembali ke meja rundingan dan kedua-dua pihak mesti berusaha untuk menyelamatkan peluang perdamaian di rantau itu.
"Kami juga mendesak pemerintah Israel terutama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk berhenti dari tindakan yang menggagalkan usaha untuk mencapai keamanan dan keamanan bagi Israel serta Palestin," katanya.