Hina Rasulullah: Mujahid puji KKMM, polis

Iklan
Mujahid - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini memuji kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang menyumbang kepada penahanan suspek yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama KKMM, juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mempermudahkan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menahan suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Mujahid turut mengucapkan tahniah kepada PDRM atas tindakan segera dan yakin polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan saksama tanpa mengira latar belakang.

"Pastikan suspek didakwa mengikut akta tersedia ada agar perkara ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada yang lain.

Iklan

"Semoga kebebasan media yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah agenda Malaysia Baharu tidak disalahguna sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu dan kita juga wajib menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang tertakluk dalam Perlembagaan dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, polis menahan seorang warga emas berusia 68 tahun bagi membantu siasatan dakwaan menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook miliknya di Mentakab, Temerloh.

Iklan

Semalam, beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan umat Islam dalam negara kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau.