MELAKA -"Semalam ketika mencarinya dan melalui tali air itu, gerak hati saya kuat mengatakan dia ada di situ," kata Rohana Sukiman, ibu kepada mangsa lemas, Badrol Azhan Nizam Bachik, 9.
Menurut Rohana, nalurinya kuat mengatakan anak bongsunya berada di lokasi kejadian walaupun ada penduduk yang memaklumkan anaknya itu tidak lemas dan dilihat beberapa kali melarikan diri kerana dipercayai ketakutan selepas kejadian menimpa rakannya.
Mayat Badrol Azhan ditemukan pada jam 9.35 pagi selepas lebih 15 jam mayat rakan karibnya, Fakrullah Rozami, 9, ditemui dalam tali air di Kampung Gelam, Tanjung Kling pada petang Selasa.
Rohana berkata, dia hanya menyedari kehilangan anak bongsunya itu melalui 'group WhatsApp kelas' yang memaklumkan Fakrullah ditemui lemas sebelum dia bergegas ke rumah kanak-kanak itu.
Menurutnya, dia tidak menyangka arwah turut bersama bermain di kawasan yang dinaiki air berkenaan namun reda mayat anaknya ditemui pagi tadi.
"Semalam lebih kurang jam 4 petang, arwah keluar rumah dengan berbasikal dan memberitahu mahu berjumpa rakan.
"Selalunya sebelum Maghrib dia akan pulang ke rumah, namun bila saya tahu berita lemas yang menimpa rakan baiknya itu hati saya mula risau dan bersama suami keluar mencarinya sehingga jam 3 pagi," katanya.
Katanya, masih tergiang-ngiang di telinganya ungkapan sayang diungkapkan oleh anak bongsunya itu.
"Saya masih terngiang-ngiang ungkapan Azhan sayang mak, sayang mak, dia selalu cium pipi saya dan dia anak yang manja," kata.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat kanak-kanak lemas ditemui terapung di tali air
Sementara itu, bapa Muhammad Fakrullah, Rozami Mat Hassan, 47 berkata, dia tidak menyangka keterujaan anak bongsu kembarnya itu menyambut Syawal pada kali ini merupakan kali terakhir mereka menyambut hari raya bersama.
Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama mangsa sempat ke kebun tembikai miliknya berhampiran lokasi kejadian sebelum mereka berdua pulang kira- kira jam 3 petang namun tidak menyedari arwah keluar rumah.
"Lebih kurang jam 5 petang, ada pekebun yang datang ke rumah kata salah seorang anak kembar saya lemas dan saya terus bergegas ke lokasi.
"Saya terus menyelam ke tali air dan memegang badan anak, malah saya sempat membuat bantuan pernafasan CPR dan membawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Kling, namun arwah disahkan meninggal dunia," katanya.
Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak yang hilang ketika mandi bersama rakannya pada petang Selasa ditemui dipercayai lemas di tali air Kampung Gelam, Tanjung Minyak, pada pagi Rabu.
Mayat Badrol Azhan Nizam Bachik, 9, ditemui Pasukan Mukti -Skill Team (MUST) Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 9.35 pagi selepas lebih 15 jam mayat rakannya, Muhammad Fakrullah Rozami ditemui pada petang Selasa.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dilaporkan hilang dijalankan semula di kawasan berdekatan mangsa pertama ditemui sebelum pasukan itu menemui mayat mangsa terapung di kawasan tali air.