SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 agak berbeza apabila sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat, susulan peningkatan jumlah kes baharu serta kehadiran varian virus yang lebih ganas.
Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyifatkan keadaan yang dilalui ketika ini sudah cukup memeritkan semua golongan masyarakat yang mahu meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana ekonomi sedikit memulih dan bertambah baik.
Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, jika PKP 3.0 diteruskan dengan langkah penutupan semua sektor ekonomi ia akan memberikan tekanan kepada semua peniaga, semua sektor dan industri tidak kira apa jenis perniagaan sekali pun.
Menurutnya, pekerja-pekerja sudah tentu mahukan gaji mereka terus dibayar, pemilik premis mahukan sewa-sewa terus dibayar, pihak bank dan instutusi kewangan yang lain juga mahukan pinjaman mereka dibayar.
"Jadi bagaimana semua ini boleh dijamin kekal dan berjalan dengan baik jika ekonomi ditutup dan tidak dibenar beroperasi.
"Sudah pasti kesannya amat besar, pembuangan pekerja bertambah dan pengangguran akan semakin meningkat serta tidak terkawal.
"Rakyat pula tiada tempat untuk menjana pendapatan dan apa nasib kepada kelangsungan hidup mereka. Semua akan sengsara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Azman berkata, bagi industri pembinaan, tahun ini pertumbuhan sektor sedang dalam episod pemulihan dan pelbagai projek pembangunan sedang dan akan berjalan serta diteruskan.
Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan untuk manfaat rakyat seperti kerja penyelenggaraan jalan, kemudahan awam, lebuh raya dan lain-lain sedang dilaksanakan.
"Jika kerja-kerja ini dihentikan sementara, kesannya bukan saja kepada pekerja, namun rakyat secara keseluruhannya dalam menikmati kemudahan serta perkhidmatan yang lebih selesa dan selamat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan penutupan ekonomi hanya akan menyebabkan industri pembinaan semakin lumpuh dan lebih ramai akan gulung tikar.
"Kami di PKBM sentiasa mengingatkan ahli kami untuk mematuhi semua SOP yang ditetapkan dan menerapkan keutamaan Safety and Health di tapak-tapak binaan dan penempatan perumahan pekerja bagi mengekang penularan Covid-19.
"Kami menyokong keputusan kerajaan untuk tidak menutup sektor ekonomi dan merayu semua pihak bersama memainkan peranan serta tanggungjawab kita untuk memutuskan rantaian pendemik di sepanjang PKP 3.0 ini," ujarnya.