Hati-hati ancaman 'phishing', elak buka pautan mencurigakan

Iklan

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak menekan sebarang pautan mencurigakan yang diterima menerusi akaun media sosial peribadi seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp.

Pensyarah kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya Profesor Madya Dr Ainuddin Wahid Abdul Wahab berkata, terdapat kemungkinan pautan itu mempunyai unsur jenayah siber ‘phishing’ atau ‘memancing data’ oleh Israel yang bertujuan mencuri data pengguna.

Iklan
Iklan

"Sebagai pengguna media sosial kita tak berupaya menghalang apa-apa serangan (siber), tetapi kita boleh mengurangkan kesan sekiranya ia berlaku. Kalau kita terima e-mel mencurigakan dan ada pautan di e-mel itu, mungkin itu phishing,” katanya dalam program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu serangan siber dari Israel yang mungkin dihadapi negara berikutan kelantangan rakyat Malaysia di media sosial yang mengecam kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Iklan

Ainuddin bagaimanapun menyuarakan keyakinan terhadap agensi berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan siber negara sentiasa berada di tahap yang baik.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia untuk mengamalkan etika dengan berkongsi maklumat dan berita sahih mengenai isu Palestin-Israel di akaun media sosial masing-masing.

Iklan

Katanya maklumat dan komentar yang diluahkan di ruang komentar Facebook Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagi mengutuk rejim Zionis menunjukkan solidariti rakyat terhadap warga Palestin, tetapi ia juga memberi peluang kepada pihak Israel mengumpul data di alam maya. - Bernama