KPLB nafi ada gerakan lantik Ketua Pengarah Jakoa bukan orang asli

Iklan
Abdul Latiff Ahmad

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menafikan terdapat gerakan untuk memastikan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang baharu bukan dari kalangan masyarakat orang asli.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kementerian sedang mengenal pasti calon yang bersesuaian untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Profesor Dr Juli Edo yang telah bersara pada April lalu.

Iklan
Iklan

"Isu penjawat awam melantik pengganti ketua pengarah adalah tidak benar kerana setakat ini proses perbincangan dan penelitian masih berjalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pencalonan Ketua Pengarah Jakoa dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah kuasa Kebawah Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Seksyen 5, Akta 134, Akta Orang Asli 195.

Iklan

"Masyarakat orang asli sentiasa menjadi pilihan utama KPLB untuk dicalonkan sebagai ketua pengarah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (5)(C) untuk melantik orang asli daripada jawatan-jawatan bersesuaian dalam perkhidmatan awam," katanya.

Abdul Latiff berkata, pemilihan calon tidak dibuat secara rawak tetapi berdasarkan kepakaran termasuk pengalaman luas.

Iklan

"Selain itu, calon perlulah mahir dalam aspek pentadbiran jabatan, pengurusan kewangan, pengurusan projek pembangunan dan sosioekonomi serta mempunyai jaringan kerjasama yang erat di antara jabatan di peringkat Persekutuan, negeri mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Mohd Nor mendakwa wujud gerakan dalam kalangan pegawai kementerian untuk memastikan jawatan tersebut diisi oleh bukan orang asli.