IPOH - Perak melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin dan menyumbang sebanyak RM100,000 bagi membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tabung berkenaan adalah tanda solidariti rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan anutan agama dalam menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan rejim zionis terhadap Palestin.
Iklan
Iklan
"Buat permulaan, Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak bersetuju menyediakan bantuan RM100,000 untuk disalurkan ke tabung tersebut dan akan disusuli dengan sumbangan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.
"Inisiatif ini juga akan dipanjangkan kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain sektor swasta dan persendirian daripada seluruh negeri Perak," katanya pada sidang media secara maya bersama pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Menurutnya, bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar, kerajaan negeri meminta bantuan Ahli Parlimen Parit, Datuk Nizar Zakaria bagi menguruskan misi bantuan tabung berkenaan.
"Beliau sebagai pemimpin pernah terlibat aktif dalam misi kemanusiaan ke Palestin akan berhubung terus dengan pihak berkuasa negara tersebut selain melalui bantuan pihak Wisma Putra," katanya.
Artikel Berkaitan