Pengumuman masa singkat PKP 3.0 beri kesan besar kepada peniaga

Iklan
Khairul Shahril

KUALA LUMPUR - Pengumuman dalam masa yang singkat bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilakukan sebelum ini dilihat bukan hanya menimbulkan kegusaran malah memberi kesan kepada sebahagian besar peniaga.

Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, selama hampir seminggu sejak PKP 3.0 dijalankan, DPIM mendapati bahawa rata-rata perusahaan kecil sederhana (PKS) khususnya pemilik perusahaan kecil tidak bersedia menghadapi pelaksanaan PKP 3.0 sehingga mula menjejaskan perniagaan sedia ada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rata-rata PKS kini telah mula kehilangan mata pencarian mereka dan kesan ini bukan hanya dirasai oleh pemilik perniagaan malah akan turut dirasai oleh pekerja dalam tempoh terdekat memandangkan sudah mula terdapat PKS yang tidak mampu untuk membiayai kos operasi perniagaan mereka dan berkemungkinan terpaksa memberhentikan pekerja.

"DPIM selaku dewan yang memayungi usahawan ini menyatakan kebimbangan terhadap kedudukan peniaga-peniaga kecil IKS sekiranya tiada pelan tindakan khas bagi menyelamatkan perniagaan mereka ini.

Iklan

"Justeru, DPIM ingin menyarankan agar beberapa tindakan perlu dilakukan kerajaan seperti pemberian moratorium dan bantuan pemberian khas (One-Off) kepada usahawan PKS dan pekerja di syarikat PKS untuk tempoh enam bulan bermula Mei 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Khairul Shahril berkata, bantuan pembiayaan khas bagi tempoh jangka pendek melalui agensi kerajaan kepada usahawan PKS atau mengarahkan institusi perbankan melonggarkan syarat permohonan perlu dilakukan selain pelaksanaan PKP secara sepenuhnya seperti mana yang telah dilaksanakan semasa PKP 1.0,”

Iklan

Tambahnya, kerajaan juga disarankan agar mengambil tindakan segera dan sewajarnya bagi membantu peniaga-peniaga PKS yang terjejas ini supaya nasib mereka dapat dibela memandangkan industri tersebut adalah salah satu penggerak utama kepada ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau juga turut mencadangkan agar bantuan pembiayaan khas dapat disalurkan melalui agensi kerajaan dan bukannya melalui institusi perbankan.

Jelasnya, pelaksanaan sebelum ini didapati kurang berkesan berikutan institusi perbankan masih menggunapakai syarat yang ketat bagi setiap permohonan.

"Pihak bank seharusnya sedia maklum bahawa permohonan pembiayaan sememangnya akan dibuat oleh usahawan yang terjejas maka penetapan syarat permohonan haruslah selari dengan keadaan semasa dan status pemohon itu,” katanya.