Pelanggan kedai makan lari kena serbu

Iklan
Pelanggan tidak sempat membungkus semula nasi yang dimakan akibat takut dikenakan tindakan.

SUNGAI PETANI - Beberapa pelanggan yang sedang menikmati makanan di sebuah gerai tumpuan awam di sini bertempiaran lari ketika diserbu dalam Ops Covid-19, kira-kira jam 9.45 pagi pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang makan dalam gerai terbabit ketika anggota Task Force Balai Polis Sungai Petani tiba.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelanggan yang terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa bertindak melarikan diri meninggalkan makanan tanpa sempat dibungkus semula.

"Seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai pemilik kedai dibawa ke balai untuk tindakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, individu itu telah diterangkan kesalahan dilakukan iaitu ingkar arahan PKP 2021 bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara kerana membenarkan pelanggan makan di kedai dan menyebabkan dikenakan kompaun berjumlah RM10,000.

"Tindakan dilakukan mengikut Peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Iklan

"Pemilik gerai telah diterangkan supaya menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah," katanya.