'Kami adik-beradik sempat bergilir jaga ibu'- Jamal

Iklan
Jamal (kanan) sempat bergilir dengan adik beradiknya menjaga Allahyarhamah Maimunah di Hospital Ampang.

SEKINCHAN - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos reda dengan pemergian ibunya, Maimunah Saman, 82, yang meninggal dunia di Hospital Ampang pagi Rabu.

Jamal berkata, ibunya sebelum ini menjalani pembedahan akibat mengalami masalah di bahagian perut di Hospital Pusrawi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, ibunya kemudian dipindahkan dari Hospital Pusrawi ke Hospital Ampang bagi menjalani rawatan lanjut.

"Pesanan terakhir arwah emak kepada kami sekeluarga dia reda sekiranya terlebih dahulu menemui Ilahi kerana menyedari harapan untuk pulih semakin tipis," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Jamal berkata, seluruh ahli keluarganya beranggapan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini suram selepas ibu mereka dimasukkan ke Hospital Pusrawi sejak 10 hari sebelum perayaan itu.

"Saya berada di Ampang dan kami adik beradik walaupun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berpeluang untuk bersama arwah emak secara bergilir-gilir selama 20 hari menemaninya di hospital.

Iklan

"Pagi tadi, arwah emak masih boleh bercakap, tangannya boleh bergerak, tetapi selepas itu paru-paru dan jantungnya mendatar dan pergi buat selamanya," ujarnya.

Jamal memberitahu, pastinya seluruh keluarganya amat merindui masakan ayam masak merah Allahyarhamah Maimunah.

"Inilah lauk kegemaran kami sekeluarga jika bertemu emak dan pastinya arwah sibuk menyediakan juadah ini setiap kali kami pulang ke kampung.

"Arwah boleh digambarkan seorang ibu yang mengambil berat tentang anak-anak dan bersikap penyayang," katanya.

Jenazah Allahyarhamah Maimunah dibawa dari Hospital Ampang tiba ke rumahnya di Tali Air 7, Sungai Leman pada jam 3.30 petang dan kemudiannya disembahyangkan di Masjid Nurul Falah.

Allahyarhamah Maimunah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Sungai Leman pada jam 5.30 petang Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, ibu kepada Jamal meninggal dunia di Hospital Ampang, kira-kira jam 9.20 pagi pada Rabu.

Alllahyarhamah Maimunah meninggalkan sembilan anak termasuk Jamal yang merupakan anak keenam.