Tiga kluster baharu Covid-19 direkodkan di Sabah

Iklan
Sabah merekod tiga lagi kluster Covid-19 yang menyumbang kepada sebahagian daripada 160 kes harian negeri pada Rabu meningkat berbanding hanya 95 kes pada Selasa.

KOTA KINABALU - Sabah merekod tiga lagi kluster Covid-19 yang menyumbang kepada sebahagian daripada 160 kes harian negeri pada Rabu meningkat berbanding hanya 95 kes pada Selasa, kata Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, tiga kluster berkenaan ialah Kluster Kolopis di Penampang dengan 13 kes, Kluster Sungai Imam di Tawau (27) dan Kluster Muhibbah Dua di Lahad Datu (14).

Iklan
Iklan

"Punca Kluster Kolopis berkemungkinan besar disebabkan sebuah majlis 'marriage blessing' pada 28 April lepas. Setakat hari ini, 30 kontak rapat telah disaring dan proses mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan di lapangan.

"Kluster Pagar Sungai Imam pula berlaku ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidilfitri. Kes indeks adalah lelaki yang dikesan positif pada 15 Mei setelah mengalami gejala. Penyebaran jangkitan dipercayai melalui kucupan dan bersalaman," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu malam.

Iklan

Kluster Muhibbah Dua pula menurutnya, mula dikesan pada 16 April lalu melalui saringan bergejala ke atas kes indeks iaitu seorang lelaki tempatan di sebuah klinik swasta.

"Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 22 ahli keluarga dan kontak rapat, 13 lagi kes disahkan positif. Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika melakukan rentas daerah ke Tawau selama dua hari bermula 7 April lalu atas urusan peribadi.

Iklan

"Selain itu, kes indeks turut menghadiri aktiviti berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri di rumah mentua di Kampung Muhibbah bersama ahli keluarga yang lain. Semua 14 kes positif Covid-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di pusat kuarantin," katanya.

Masidi berkata, daripada 160 kes positif yang direkodkan pada Rabui, Tawau mencatatkan jumlah kes paling tinggi iaitu 54 kes diikuti Lahad Datu (29), Papar (16), Kota Kinabalu (16), Kuala Penyu (10), Semporna (8), Kunak (6) serta Putatan dan Kinabatangan masing-masing empat.

Selain itu Kalabakan, Penampang dan Sandakan masing-masing merekodkan tiga kes, Kota Belud (2) serta masing-masing satu kes di Keningau dan Beaufort. - Bernama