PKRC MAEPS sedia buka lebih banyak dewan

Iklan
Dr Shahabuddin melawat Dewan F PKRC MAEPS yang merupakan dewan baharu bagi menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ketika tinjauan media di MAEPS hari ini. - Foto Bernama

SERDANG - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bersedia membuka lebih banyak dewan bagi menampung peningkatan kemasukan pesakit terutama dari Lembah Klang.

Pengarah PKRC MAEPS, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, buat masa ini, lima dewan sudah dibuka iaitu Dewan A, B, C, D1 dan DG, yang menempatkan seramai 3,883 pesakit Covid-19 daripada kategori 1, 2, dan 3.

Iklan
Iklan

"PKRC MAEPS ini dari masa ke masa kita memang menyesuaikan diri dengan keperluan dan risiko yang ada di lapangan sebagai contoh, melihat kepada peningkatan kes Covid-19 untuk kategori 3, kita dah boleh jangka ia akan menimbulkan ‘backlog’ di Hospital Sungai Buloh.

"Kita sentiasa memikirkan beberapa langkah ke hadapan dan sekarang pun kita sedang membuat persediaan kalau kita terpaksa buka dewan lain iaitu Dewan E (untuk menampung pertambahan pesakit)," katanya kepada media selepas membuat tinjauan persiapan pembukaan Dewan F di sini pada Rabu.

Iklan

Pesakit kategori 1 dan 2 Covid-19 merupakan pesakit yang tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan, manakala kategori 3 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan kategori 4 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Buat masa ini, Dewan A menempatkan pesakit daripada kategori 1, 2 dan 3; Dewan B pesakit kategori 3 manakala Dewan C, D1 dan DG menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.

Iklan

Setakat ini, PKRC MAEPS mempunyai kapasiti sebanyak 5,869 katil dengan kira-kira 70 peratus sudah dipenuhi.

Dr Shahabuddin berkata, PKRC MAEPS juga bersedia untuk menerima lebih ramai pesakit transit kategori 4.

"Dari sejak awal penubuhan PKRC ini, tujuan utama selain untuk kuarantin, kita adalah ‘buffer’ kepada hospital di Lembah Klang dan kita tumpukan pesakit kategori 3, 2 dan 1.

"Kita memang kena bersedia (terima lebih ramai) pesakit kategori 4...sekarang kalau terpaksa kita akan buka sebuah dewan iaitu Dewan B untuk menempatkan pesakit dengan bantuan oksigen jangka panjang namun sasaran kita dalam masa enam jam pesakit itu akan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Buat masa ini, pesakit Covid-19 kategori 4 ditempatkan secara sementara di dalam khemah gelembung udara tekanan negatif, bertindak sebagai transit Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dikenali MAEPS Acute Resuscitation And Isolation Area (MARIA).

Pesakit kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan akan distabilkan terlebih dahulu di MARIA sebelum dimasukkan semula ke wad atau dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Mengenai Dewan F, Dr Shahabuddin berkata, dewan yang baharu dibuka itu menyediakan 580 katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 warganegara kategori 1 dan 2 yang dijangka mula beroperasi malam esok.

"Sekarang kita nak tambah sedikit lagi keselesaan untuk warganegara, jadi kita bina Dewan F ini khusus untuk menempatkan mereka...kita cuba membina kemudahan sebaik mungkin yang dilengkapi penyaman udara, ‘lounge’ untuk pesakit berehat dan ada pemisah untuk pesakit lelaki dan wanita.

"Ini untuk memastikan mereka yang mendiami Dewan F ini lebih selesa dan di sini pun ada kemudahan surau serta tandas yang mencukupi," katanya. - Bernama