KUALA LUMPUR - Penutupan aktiviti sosial dan ekonomi yang berpanjangan akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia, menurut Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA).
MPMA dalam satu kenyataannya pada Rabu berkata, Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada skala penuh boleh menyebabkan penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja.
Justeru, persatuan tersebut menggesa pihak berkuasa untuk mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dilaksanakan untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 berbanding sekatan pergerakan sepenuhnya.
"SOP dan garis panduan kesihatan yang lebih ketat yang memerlukan masyarakat, majikan dan pekerja di tempat kerja untuk mematuhinya dengan sewajarnya terbukti menjadi mekanisme yang berkesan untuk membendung penularan Covid-19.
"Contoh yang baik ialah SOP ketat yang dilaksanakan oleh sektor pembuatan,” kata Presiden MPMA Datuk Lim Kok Boon dalam kenyataan itu.
Persatuan itu berkata demikian bagi mengulas pelbagai perbincangan mengenai penguatkuasaan PKP pada skala penuh di Selangor jika kes Covid-19 di negeri ini terus meningkat.
Selain itu, MPMA turut menggesa kerajaan untuk mempercepatkan program vaksinasi dengan membenarkan sektor swasta mengambil bahagian dalam pembelian dan pentadbiran vaksin untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
Ini akan menjadi kaedah yang lebih berkesan untuk mengekang jangkitan Covid-19 dalam jangka masa panjang, katanya.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tempoh hampir dua bulan bermula 13 Jan hingga 4 Mac, 2021, terdapat sejumlah 226 kluster dalam sektor pembuatan dengan 28,524 kes.
Apabila sektor pembuatan mula mengguna pakai SOP yang lebih ketat mulai Mac 2021, kluster telah berkurangan kepada 113 dengan 9,271 kes untuk tempoh dua bulan dari 5 Mac hingga 5 Mei, 2021.
Kluster kemudiannya berkurangan dengan ketara kepada 31 dengan 1,598 kes dari 6-16 Mei, 2021.
"Penutupan sepenuhnya akan memberi kesan buruk kepada perniagaan dan ekonomi yang pulih. Ini akan menyebabkan kehilangan pekerjaan dan masalah sosial yang akan memberi kesan kepada keluarga,” kata Kok Boon.
Malaysia pada Rabu mencatatkan jumlah kes Covid-19 harian tertinggi sebanyak 6,075. - Bernama