SEMENYIH - Lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan tidak perlu berhijrah ke tempat lain bagi mencari pekerjaan merupakan antara harapan golongan muda di Semenyih, apatah lagi ketika kawasan ini menyaksikan pembangunan yang agak pesat.
Kesan pembangunan di kawasan-kawasan berhampiran seperti Kajang, Putrajaya dan Cyberjaya, menyaksikan Semenyih turut menerima tempias dalam soal pembangunan dan menjadi tumpuan ramai untuk membeli rumah dan tinggal di Semenyih, namun dalam soal peluang pekerjaan, ia tidak begitu ketara.
Penghulu bagi Mukim Semenyih Muhamad Azaazrin Alias berkata peluang pekerjaan perlu dipertingkatkan lagi supaya golongan yang disasarkan tersebut tidak berhijrah mencari pekerjaan di tempat lain.
"Golongan muda di sini ada menyuarakan hasrat mereka supaya peluang pekerjaan lebih banyak dapat diwujudkan di sini. Jika diperbanyakkan lagi sudah tentu mereka (orang muda) mahu kekal di sini,” katanya kepada Bernama.
Tinjauan Bernama mendapati cabaran terbesar untuk mengekalkan golongan muda menetap di Semenyih adalah kerana banyaknya peluang pekerjaan yang lebih baik dan tawaran pendapatan yang lebih tinggi di kawasan tumpuan seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, yang terletak tidak jauh dari Semenyih.
Berdasarkan keadaan sekarang, Semenyih menjadi tumpuan sebagai lokasi tempat tinggal tetapi dalam hal pekerjaan, masih ramai yang memilih untuk bekerja di luar termasuk di Kuala Lumpur walaupun terpaksa berulang-alik menempuh perjalanan yang agak jauh.
Bagi Pengerusi Pertubuhan Ikatan Semenyih Bersatu Yusnizam Mansur berkata peluang pekerjaan boleh diperbanyakkan lagi dalam bidang-bidang yang banyak dikaitkan dengan keadaan semula jadi di Semenyih khususnya dalam sektor pertanian, perladangan dan pelancongan, yang mampu menarik minat penduduk tempatan.
Katanya sektor tersebut perlu diterokai oleh golongan muda di Semenyih dengan galakan serta bantuan daripada pihak berkaitan.
"Bagi saya sektor pertanian adalah satu cabang peluang pekerjaan yang perlu diperkasakan. Sektor pertanian lebih berpotensi daripada sektor perkilangan kalau diikutkan di sini. Skopnya luas dan ramai golongan muda di sini berminat untuk berkecimpung dalam sektor tersebut. Saya harap ada peluang untuk orang Semenyih mengusahakannya,” katanya.
Menurutnya, sektor pelancongan juga antara peluang pekerjaan yang boleh diisi oleh penduduk di sini.
"Kemudahan tempat rekreasi, kolam memancing ikan, kolam air panas yang terletak di Sungai Lalang dan sumber alam yang lain seharusnya dieksploitasi untuk dijadikan peluang pekerjaan,” katanya.
Bagi seorang pengusaha yang terlibat dalam bidang penternakan dan pelancongan di Sungai Lalang, Hanim Raduan, 50, beliau merasakan peluang pekerjaan sentiasa ada namun penduduk Semenyih khususnya golongan muda harus bijak mencari serta menggunakan peluang itu.
"Ada banyak kilang di sini, peluang itu ada cuma orang muda ini perlu rajin dan berusaha sendiri. Tidak boleh hanya menunggu peluang itu muncul sedangkan mereka yang tentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga gerai burger Alif Shohairin, 25, berkata beliau tidak risau akan peluang pekerjaan di Semenyih kerana banyak peluang yang boleh dimanfaatkan daripada pembangunan di Semenyih dan kesan limpahan pembangunan daripada kawasan-kawasan berhampiran.- Bernama