‘Bila roket Zionis atas kepala’

Iklan
Penduduk Palestin sedih dan kecewa ketika membawa ahli keluarga yang terkorban.

CAHAYA merah membelah langit Gaza malam Ahad lalu. Sama seperti beberapa malam sebelumnya, roket-roket tentera Zionis Israel terbang melintasi langit Gaza diikuti dengan dentuman kuat.

Bebola api dan asap tebal boleh dilihat dari jarak beberapa kilometer apabila bedilan roket Zionis jatuh memusnahkan kediaman dan bangunan di Gaza. Hari itu giliran bangunan di Jalan Al Wihdah rebah menyembah bumi.

Iklan
Iklan

Sebaik mendapat perkhabaran duka, ada penduduk Palestin yang mati dihempap bangunan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, 34, turut bergegas menuju ke Jalan Al Wihdah.

Apatah lagi, khabarnya ada seorang rakan menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada seorang gadis yang memberitahu dirinya terperangkap dalam runtuhan bersama ahli keluarga.

Iklan

Namun, luluh hati Muhammad Nadir sebaik menjejakkan kaki di jalan itu. Pemuda kelahiran Malaysia yang kini bermastautin di Semenanjung Gaza tumpah airmata saat mendapat khabar berita 33 orang mati akibat terkena bedilan roket Zionis dan dihempap bangunan runtuh.

Lebih menyayat hati, gadis yang sempat menghantar SMS itu turut terkorban bersama empat ahli keluarganya.

Iklan
Beginilah senario terkini Palestin yang harus diketahui masyarakat antarabangsa rentetan tindakan Israel yang tidak berhati perut.

"Beliau syahid bersama empat anggota keluarga dengan telefon masih di tangannya dalam usaha mendapatkan bantuan,” kongsi Muhammad Nadir.

Muhammad Nadir yang mendirikan rumah tangga dengan seorang balu pejuang Palestin dan mengasaskan Persatuan Cinta Gaza Malaysia, menggambarkan Zionis tidak berhati perut apabila mengebom pelbagai infrastruktur awam di Palestin bagi memastikan tamadun negara Islam itu lumpuh sepenuhnya.

Akui Muhammad Nadir, ketika temubual bersama Sinar Harian pada Selasa, serangan demi serangan masih bertalu-talu dilancarkan Israel untuk mengebom kemudahan infrastruktur awam termasuk bangunan dan sistem perpaipan di Semenanjung Gaza.

"Berdasarkan kenyataan terkini Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel), saya percaya kadar serangan akan menjadi lebih teruk kerana misi Zionis memastikan Gaza terus ketinggalan beberapa tahun ke belakang apabila perlu membangunkan semula infrastruktur,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Nadir ketika turut menyertai operasi menyelamat mangsa di Jalan Al Wihdad di Gaza. Bagaimana 33 orang maut akibat terkena bedilan roket dan dihempap bangunan runtuh.

Muhammad Nadir yang tinggal di Semenanjung Gaza sejak 2013 berkata, setakat ini sudah ratusan serangan berlaku sehingga menyebabkan angka penduduk yang terpaksa berpindah ke lokasi lebih selamat juga jauh lebih besar daripada kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu 20,000 orang.

"Jumlah yang mati syahid juga mencecah 212 orang termasuk 36 wanita dan 61 kanak-kanak (setakat Selasa) melibatkan lebih 1,400 orang cedera, cuma kalau diikutkan kali ini hanya berlaku serangan udara, jadi ia tidak seteruk 2014 kerana Israel ketika itu memasuki jalan darat yang mengakibatkan kematian syuhada jauh lebih tinggi,” katanya.

Ketika menceritakan semula situasi semasa di bumi Palestin ketika ini, ungkap Muhammad Nadir, dia amat terkilan apabila menyaksikan satu demi satu nyawa melayang di depan mata.

"Cukup menyakitkan apabila melihat ada yang memiliki harapan untuk hidup tetapi akhirnya mati. Semalam saja (Ahad) jumlah syuhada mencecah 33 orang di Jalan Al Wihdah,” ceritanya sebak yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Keadaan bumi Gaza yang musnah teruk selepas rejim Israel membedil bertalu-talu roket melalui serangan udara menggunakan pesawat pejuang dan dron tanpa juruterbang.