JEMPOL - Atas dasar minat yang mendalam dalam bidang sukan mendorong Rusnani Hamzah, 40, membuka Nani’e Aerobic & Fitness Studio di Bahau, di sini.
Beliau yang juga bekas atlet sekolah meneruskan minat tersebut apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan bidang senamrobik untuk semua peminat kecergasan.
Katanya, dengan adanya minat mendalam, kebolehan dan setelah lalui segala peringkat dari KBS, beliau akhirnya membuka Pusat Fitness kerana tiada lagi orang Melayu yang membukanya di kawasan Jempol ini.
"Saya mula berjinak-jinak dengan dunia aerobik pada 2001 dan terus ambil Tahap 1 dan lulus, seterusnya ke Tahap 2 dan Tahap 3.
"Semasa Tahap 3 merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Ketika ujian aqua, saya seorang sahaja tidak lulus susulan takut dengan air. Walaupun ada dalam kalangan mereka tidak pandai berenang, tetapi akhirnya mereka dapat lalui kesukaran itu, namun sebaliknya saya.
"Keesokannya ujian praktikal pula, saya kuatkan semangat walaupun demam, selesai ujian saya pengsan kerana demam panas. Saya lulus juga kerana impian ingin terus ke Akreaditasi (pentauliahan),” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berjaya mendapat pentauliahan sebagai Jurulatih Bertauliah dari KBS mendorongnya membuka studio (kecergasan) dengan modal sendiri, bagaimanapun awalnya dihalang suami susulan mendakwa tidak mendatangkan faedah ataupun keuntungan yang besar seperti perniagaan lain.
"Saya tahu buka fitness tidak boleh mendapat ke untung sehari hingga RM300 ke RM400 tapi niat pertama saya adalah untuk mengajak masyarakat sekeliling sentiasa sihat, kekal cantik, muda dan anggun dengan bersenam, akhirnya diizinkan suami dan saya mula mengorak langkah tahun demi tahun.
"Tahun kedua pelbagai rintangan yang saya hadapi, ada yang mengatakan senaman tidak mendatangkan faedah, yuran mahal, lebih baik makan nasi ayam dan pelbagai lagi, tetapi saya sentiasa senyum dan redha aras segala yang dilemparkan.
"Saya cuba komersialkan senaman dengan mengajar ke taman-taman perumahan di sekitar Jempol seperti dan akhirnya masyarakat mula seronok dengan senaman dan majoriti mengatakan ianya amat menarik selain dapat hilangkan tekanan mereka,” katanya.
Usaha Rusnani ini seterusnya dinilai oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan beliau dinobatkan sebagai Johan Pemimpin Wanita 2012 dalam bidang Kecergasan, diikuti dengan penganugerahan sebagai Johan Persatuan Terbaik Negeri Sembilan 2015.
Katanya, segala penat lelahnya dan juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kelab Kecergasan Bahau akhirnya dihargai.
"Kini studio saya, Nani’e Aerobic & Fitness Studio sudah beroperasi sehingga 12 tahun. Terima kasih kepada semua yang sentiasa sokong saya dari bawah hinggalah sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Rusnani berharap semua peserta kursus asas telah dibimbingnya dalam kursus senamrobik Asas Siri 1 dn Siri 11 meneruskan kursus itu ke tahap seterusnya.
"Saya berkata demikian kerana sekiranya ada asas anda masih lagi tidak layak mengajar penduduk setempat kerana banyak lagi yang perlu anda belajar dan fahaminya.
"Sesiapa yang berminat untuk buat zumba, saya sarankan supaya mengambil Lesen Zumba.
"Setelah anda diiktiraf sebagai ZIN (Zumba Instruktur Network) anda layak untuk mengajarnya, ini kerana saya perhatikan ada segelintir yang mengajar tarian zumba tanpa lesen, masyarakat sekeliling hanya tau bila dengar lagu sahaja ingatkan Zumba. Zumba ni tidak sama dengan senamrobik, sememangnya berbeza.
"Saya harap masyarakat sekeliling terutama di Jempol yang berminat dengan senamrobik atau zumba boleh belajar. Selain saya, ada juga ZIN yang lain,” katanya.