KUANTAN - Seorang penyelia wanita mengalami kerugian RM12,652 selepas tertipu dengan tawaran pelaburan urusniaga emas tidak wujud yang ditawarkan kenalan Facebook.
Mangsa berusia 27 tahun baharu berkenalan dengan lelaki itu dalam tempoh empat hari sebelum ditawarkan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan berdasarkan peratusan keuntungan ditetapkan syarikat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran itu lalu membuat bayaran berjumlah RM12,652 sebagai modal pelaburan.
Menurutnya, mangsa membuat bayaran secara berasingan melalui empat akaun bank atas nama tiga individu berbeza.
"Selepas bayaran pelaburan itu dibuat, suspek meminta mangsa membuat pelaburan tambahan berjumlah dolar Amerika Syarikat (AS) 10,000 atau lebih RM41,000.
"Sekiranya mangsa tidak dapat menjelaskan bayaran itu, keuntungan hasil pelaburan sebelum ini tidak akan dibayar dan wang modal pelaburan juga tidak akan dikembalikan," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Wazir berkata, mangsa syak telah ditipu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Genting Highlands pada Rabu.
Katanya, susulan laporan polis dibuat mangsa, pihaknya membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis turut mengesan tiga pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.