Syor guna tentera pantau pematuhan SOP rakyat

Iklan
Kerajaan disaran menggunakan pasukan tentera untuk memantau pematuhan SOP berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini. - Foto Bernama (Gambar kecil: Muhammad Arif)

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan menggunakan pasukan tentera di jalan raya dan premis-premis perniagaan untuk memantau pematuhan SOP berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mencecah lebih 6,000 jangkitan.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Selayang, Muhammad Arif Kasim berkata, langkah tersebut bagi mengingatkan kepada orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan betul.

Iklan
Iklan

"Pasukan tentera disyorkan membuat rondaan dan kawalan ke tempat-tempat awam dan bukan sekadar di pos-pos pemeriksaan jalan raya sahaja untuk membantu polis.

"Kehadiran pasukan tentera dan polis untuk mengawal keselamatan seperti yang dilakukan di lapangan terbang dilihat amat berkesan. Langkah yang serupa juga perlu dilakukan untuk mendisiplinkan orang ramai dalam menangani pandemik ini.

Iklan

"Saya percaya dengan kehadiran tentera barulah orang ramai akan patuh pada SOP termasuk dalam soal sanitasi, pemakaian pelitup hidung dan mulut, pematuhan jarak 1 meter yang betul serta SOP lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhammad Arif berkata, kerajaan perlu memperketatkan lagi SOP bagi menangani penularan pandemik Covid-19 berikutan peningkatan kes positif yang direkodkan negara pada Rabu.

Iklan

Jelasnya, langkah tersebut perlu dilakukan secara lebih serius kerana terdapat segelintir rakyat di negara ini sekadar mengambil syarat bagi mematuhi SOP.

"Kita lihat orang ramai yang beratur di kedai atau pusat membeli-belah, jaraknya kurang 1 meter, malah rapat-rapat dan begitu juga sanitasi, hanya sekadar syarat serta masih ramai yang tidak menggunakannya seperti di stesen minyak atau memasuki premis perniagaan.

"Begitu juga pemakaian pelitup mulut dan hidung, ada yang terlalu lama hingga berjam-jam tanpa menukarnya, pakai pun tidak betul dan kalau ditinjau, masih ramai yang tidak serius dalam mematuhi SOP secara betul. Keadaan ini menjadi penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak berkuasa juga disyorkan secara terbuka menguar-uarkan menggunakan alat pembesar suara bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain untuk mengingatkan orang ramai tentang pematuhan SOP.

"Kehadiran kenderaan pihak berkuasa yang bergerak dari satu kawasan ke kawasan sambil memperlihatkan serta memasang lampu kecemasan dan menggunakan alat pembesar suara sambil mengingatkan orang ramai mengenai SOP serta pandemik Covid-19 perlu dilakukan tanpa mengira waktu.

"Saya percaya apabila ramai melihat kehadiran kenderaan mahupun anggota pihak berkenaan, secara langsung mereka akan mematuhi SOP dengan lebih betul,” jelasnya.