KOTA BHARU - Kerajaan akan memantau kemungkinan wujud pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap isu Palestin ketika ini dengan membuat kutipan sumbangan daripada orang ramai untuk kepentingan sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, setakat ini kerajaan masih belum menerima sebarang laporan berkaitan perbuatan tersebut.
"Kita akan sentiasa memantau kegiatan pihak yang cuba mengambil kesempatan ini. Kita percaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada semuanya berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) termasuk ada melalui yayasan dan sebagainya.
"Kerajaan memang menggalakkan kegiatan murni seperti ini (sumbangan untuk Palestin) kerana ia melambangkan hati nurani rakyat Malaysia. Walaupun kita sedang berhadapan dengan Covid-19, hasrat dan niat untuk menderma atas dasar persaudaraan tetap menjadi amalan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu kerajaan menyokong,” katanya di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, peranan yang dimainkan NGO-NGO dalam misi untuk membantu rakyat Palestin selaras dengan pendirian dan polisi kerajaan Persekutuan.
"Atas dasar itu, kerajaan bersedia menjadi pemudah cara kepada NGO-NGO ini terutama mereka yang mengadakan misi kemanusiaan dan mengutip dana.
"Itu ketetapan kita, apa cara sekalipun yang diperlukan, kita sentiasa bersama dengan NGO–NGO ini,” kata beliau.