SABAK BERNAM - Pusat Pemerhatian Kelip-Kelip Sungai Pakeh, di sini, yang menelan belanja RM1.1 juta dijangka mampu menarik kira-kira 3,000 pelancong tahun ini.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Khairul Kassim berkata, jumlah kedatangan pengunjung itu diramal meningkat lebih sekali ganda berbanding hanya 1,200 pelancong tahun lalu.
Menurutnya, kemudahan itu membabitkan bangunan utama yang terdiri dari galeri, kemudahan awam dan jeti penambat bot di Sungai Bernam.
"Pembinaan projek ini bertujuan meningkatkan industri pelancongan yang terkenal dengan keunikan kelip-kelip.
"Kita harap, prasarana ini mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya pada Majlis Penyerahan Pusat Pemerhatian Kelip-Kelip Sungai Pakeh, di sini.
Menurut beliau, projek yang bermula pada tahun 2017 itu mengambil tempoh selama 12 bulan siap sepenuhnya pada 25 Januari lalu.
Katanya, projek itu diserahkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang akan melantik operator swasta bagi menguruskan bangunan, logistik dan infrastruktur di pusat berkenaan.
Setiausaha MDSB, Mohd Muktafi Sarpan berkata, pihaknya sentiasa berusaha menarik pelancong bagi meningkatkan industri agro pelancongan di daerah ini.
"Kita nak menggalakkan pelancong dalam dan luar negara datang melihat sendiri keunikan dan keindahan kelip-kelip ini.
"Selain itu, kita turut merancang pelbagai aktiviti menarik selain mencantikkan kawasan sekitar pusat ini sekali gus melonjakkan sektor agro-pelancongan Sabak Bernam.
Menurutnya, bagi yang berminat menaiki bot menyusuri Sungai Bernam sejauh 1 kilometer melihat habitat serangga itu dikenakan bayaran RM12 seorang.
"Saya yakin melalui kemudahan lebih selesa pada harga berpatutan, pelancong dapat merasai sendiri keunikan serangga ini yang mengeluarkan cahaya pada bahagian bawah abdomennya.
"Waktu sesuai melihat keindahan kelip-kelip pada waktu gelap sekitar jam 7.30 hingga 11.00 malam,” katanya.