Pelajar UMK guna dialek Kelantan kempen vaksinasi

Iklan
Dr Noor Azizi Ismail (kanan) bersama Penyelaras Pasukan Kesihatan Program Vaksinasi COVID-19 Daerah Bachok Dr Azilawati Dollah (dua, kiri) beramah mesra dengan penerima vaksin semasa melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tuanku Canselor UMK Kampus Bachok, pada Khamis. - Foto: Bernama

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif mengadakan kempen program vaksinasi menggunakan dialek Kelantan bertujuan menggalakkan rakyat di negeri ini mendaftar dan hadir menerima suntikan vaksin.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, menerusi kempen ini lebih 10,000 pelajar berperanan sebagai ejen dan sukarelawan khusus kepada ibu bapa dan keluarga terdekat selain 1,264 kakitangan UMK digerakkan membantu memudahkan proses vaksinasi itu.

Iklan
Iklan

"Kempen ini dilaksanakan menerusi video-video pendek telah dihasilkan, kita telah menemu duga rakyat Kelantan yang telah mendapatkan suntikan vaksin terutamanya golongan warga emas mengenai pendapat serta perkongsian mereka.

"Lagi menarik, ia diadakan dalam dialek Kelantan supaya mudah untuk disampaikan kepada orang ramai sekali gus dapat menimbulkan kesedaran kepada seramai mungkin tentang suntikan vaksin Covid-19 yang dikongsi menerusi laman media sosial universiti termasuk di ‘group chat’ aplikasi WhatsApp,” katanya.

Iklan

Bercakap kepada pemberita di sini, Noor Azizi berkata, kempen yang dilaksanakan membantu dari segi proses pendaftaran penerimaan vaksin dan membawa penerima hadir ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan pada tarikh ditetapkan.

Katanya, segala kemudahan dan kepakaran yang ada oleh pihak universiti akan digunakan seoptimum mungkin menerusi beberapa inisiatif bagi merealisasikan hasrat kerajaan agar semua masyarakat Kelantan divaksinasi sekali gus berlaku peningkatan dalam statistik dikeluarkan.

Iklan

Beliau berharap usaha ini dapat membantu Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam mempercepatkan proses pendaftaran dan menambah lagi bilangan rakyat negeri ini yang mendapat vaksin. - Bernama