Tujuh prasyarat sebelum laksana PKP penuh

Iklan
Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Khamis.

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menetapkan tujuh prasyarat yang perlu dipenuhi oleh kerajaan sekiranya mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dalam tempoh 14 hingga 21 hari.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara prasyarat yang perlu dilaksanakan adalah melakukan pemberian bantuan khas kepada rakyat dalam kumpulan B40 terutamanya mereka yang tidak memiliki gaji tetap, bekerja sendiri atau tiada punca pendapatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan juga perlu sekali lagi membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika langkah drastik itu dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Ketiga, kerajaan harus memanfaatkan Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi kewangan dan perbankan menawarkan moratorium selama tiga ke enam bulan tanpa caj atau faedah tambahan penstrukturan pembayaran atau pembiayaan semula.

Iklan

"Seterusnya, kilang-kilang besar yang menjadi penyumbang terbesar kepada pandemik iaitu yang menyebabkan lebih 50 peratus penularan virus Covid-19 mesti segera ditutup selama tempoh ‘lockdown’.

"Hanya pekerja barisan hadapan dan pekerja e-hailing yang menghantar pesanan makanan dan barang keperluan sahaja dibenarkan bertugas dan beroperasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Iklan

Selain itu Asyraf berkata, sebarang aktiviti rentas daerah dan negeri juga perlu dilarang sama sekali sekiranya kerajaan mahu melakukan PKP penuh.

Katanya, operasi semua sektor di dalam negara perlu ditutup dalam tempoh tersebut kecuali sektor yang merupakan penggerak negara dan dibenarkan operasinya ketika pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, prinsip paling penting dalam melaksanakan langkah tersebut adalah memastikan tidak berlakunya ‘dwi-standard’ dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKP sehingga wujudnya perbezaan tindakan terhadap golongan ‘kayangan’ dan marhaen.