PILIHAN RAYA Kecil DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, PSM dan calon Bebas.
Namun pihak yang menerima serangan dan kritikan adalah parti yang tidak bertanding, iaitu Pas.
Sejurus mendapat perkhabaran kekosongan kerusi DUN Semenyih, Pas telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada wakil pembangkang iaitu Barisan Nasional, atas semangat demokrasi untuk mengukuhkan proses ‘semak dan imbang’ yang diperjuangkan oleh Pas.
Pendirian Pas kali ini sudah boleh dijangka setelah menyaksikan keputusan PRK Cameron Highlands yang memihak kepada Barisan Nasional, di mana hampir semua penganalisis politik menyimpulkan bahawa kemenangan Barisan Nasional adalah disebabkan sokongan yang diberikan oleh Pas.
Menjelang hari penamaan calon, pendirian Pas dalam PRK Semenyih mula dipersoalkan apabila timbul pendedahan berlangsungnya pertemuan di antara Perdana Menteri dan Presiden Pas.
Malah Perdana Menteri secara bersahaja memaklumkan kepada pihak media,"Pas tidak akan menyokong UMNO”, menyebabkan timbul kritikan dan serangan terhadap pendirian yang diambil oleh Pas.
Namun keributan yang melanda terus reda setelah Presiden Pas memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang bersidang pada 17 Februari 2019 di Marang, dan diikuti dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung Pas yang memaklumkan;
"Pas menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK Dun Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu Barisan Nasional, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands.
Ini selaras dengan pendirian konsisten Pas yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya, di samping Pas mengekalkan hubungan dengan Umno atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang”.
Melihat kepada pendirian yang diambil oleh Pas, ada yang beranggapan Pas tidak konsisten dan selalu mengubah pendekatan, malah ada yang beranggapan Pas sudah terperangkap dan tiada masa depan.
Hakikatnya setiap strategi yang diambil oleh Pas pastinya mengundang rasa cemburu dan sangsi di pihak kawan dan lawan.
Namun jika dilihat secara objektif dan rasional, jelas pendirian Pas adalah konsisten demi menjaga kepentingan Islam yang tidak berubah mengikut zaman.
Keanjalan pendekatan yang diambil oleh Pas dapat dilihat daripada strategi berpolitik yang mendahulukan damai dengan semua pihak (Politik Damai), tanpa mengira mereka yang lunak ingin berkawan ataupun yang tegar ingin berlawan.
Pendekatan BPMS inilah yang menjadi jambatan untuk Pas meramaikan ahli dan penyokongnya, serta menjadi rahsia ketahanan Pas yang tidak pernah diharamkan sejak awal penubuhannya.
Justeru tidaklah sukar untuk difahami pendirian dan pendekatan Pas, kerana kuncinya adalah untuk menjaga kepentingan Islam, dan strateginya adalah untuk mendaulatkan kedudukan Islam.
* Penulis merupakan Pengarah Strategi Pemuda Pas