PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyifatkan penganjuran Kejohanan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) sebagai medan terbaik ke arah memperkenalkan liga futsal profesional pada masa depan.
Penyelaras Projek Pembangunan Pejabat Serantau FIFA, Niko Nhouvannasak berkata badan induk bola sepak dunia itu sentiasa menggalakkan anggota gabungannya untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan sedemikian bagi meningkatkan kualiti futsal pada masa depan.
"FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) adalah contoh terbaik kerana badan sukan ini sudah memulakan langkah melabur dalam pertandingan dan infrastruktur.
"Liga futsal baharu Malaysia ini, MPFL, sememangnya berpotensi sebagai penanda aras dalam liga futsal profesional. Kami berharap usaha ini akan menggalakkan serta menarik lebih ramai pemain dan jurulatih untuk menyertai futsal di masa depan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan FAM, hari ini.
Pada masa sama, Niko turut menekankan kepentingan dana kewangan yang kukuh bagi memastikan kejohanan seperti MPFL kekal mampan terutama dalam sudut pembangunan.
"Bagaimanapun, saya percaya dengan sokongan dari FIFA dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), FAM akan menepati ciri-ciri yang perlu dalam memastikan liga futsal ini kekal di Malaysia," jelas Niko.
FAM melancarkan MPFL, baru baru ini dengan hasrat memastikan liga futsal di negara ini menuju ke arah profesional, selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM, F30 yang dilancarkan pada tahun lepas.
MPFL yang julung kali diadakan, bakal bermula April ini selama enam bulan melibatkan penyertaan lima belas pasukan termasuk lima pasukan wanita. - Bernama