Najib, UMNO serah surat tuntut RM114 juta

Iklan
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO akan menyerahkan surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sitaan wang berjumlah RM114,164,393.44 yang dirampas pihak berkuasa di Pavilion Residences kira-kira tiga tahun lalu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, surat berkenaan akan dihantar dalam tempoh 24 jam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, wang itu sepatutnya diserahkan kepada kedua-dua pihak kerana tindakan menyimpannya adalah salah di sisi undang-undang.

"Kita akan menyerahkan surat itu dalam masa 24 jam. Apabila wang tersebut dikembalikan, terpulang kepada Najib dan UMNO untuk mengambil bahagian masing-masing," katanya ketika sidang media berhubung keputusan kes lucut hak wang di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini pada Khamis.

Iklan

Muhammad Shafee mengulas perkara itu ekoran tindakan pasukan pendakwaan mempertikaikan status quo wang sitaan yang dikeluarkan mahkamah.

Sementara itu, Najib berkata, keputusan mahkamah kali ini menjadi satu kemenangan buat dirinya dan UMNO.

Iklan

Menurutnya, tuduhan bahawa beliau kononnya menyalah gunakan wang adalah tidak berasas sama sekali.

"Ada yang kata saya perompak, penyangak dan sebagainya. (Kini) terbukti itu semua itu adalah fitnah dan berniat jahat, malah ia menyentuh reputasi saya sebagai seorang pemimpin.

"Keputusan ini sekali gus membersihkan nama saya dan UMNO,” katanya.

Semasa prosiding, pasukan pendakwaan mempertikaikan status quo wang berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi berkata, mahkamah sepatutnya mengeluarkan perintah ke mana wang yang disita itu perlu dilepaskan kerana ia tidak dilucuthak kepada kerajaan.

"Wang itu masih ada di Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi persoalannya apa status wang yang disita itu?

"Jika tiada perintah mahkamah, pihak kami perlu memulangkan wang itu kepada siapa. Jika diberi kepada Najib, bagaimana pula dengan UMNO,” kata beliau.