PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan aksi berdepan Burnley di Turf Moor pada awal pagi Khamis ibarat aksi separuh akhir yang berjaya diharungi skuad The Reds itu.
Menurut Klopp, kemenangan berkenaan ternyata cukup penting buat skuad kendaliannya itu dalam usaha menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok empat pasukan teratas, selain turut menempah slot beraksi di pentas Liga Juara-Juara.
Malah katanya, aksi terakhir berdepan Crystal Palace di Anfield Ahad ini bakal menjadi penentu skuad The Reds itu akan beraksi di pentas Eropah atau sebaliknya.
"Perlawanan itu bagaikan aksi separuh akhir. Ketika itu kami perlu menang aksi separuh akhir itu dan kami berjaya melakukannya.
"Walaupun kemenangan berkenaan masih belum membuktikan apa-apa, namun kami berjaya memperbaiki kedudukan kami dalam saingan EPL.
"Seterusnya aksi terakhir berdepan Crystal Palace di Anfield, pada Ahad adalah ibarat aksi final buat kami,” katanya.
Pada perlawanan itu, Burnley hampir mengejutkan Liverpool menerusi asakan-asakan merbahaya ke gawang The Reds sejak wisel permulaan, namun sekadar menyaksikan deretan peluang yang diperolehi gagal disempurnakan.
Sebaliknya, Liverpool dilihat mulai bangkit pada penghujung separuh masa pertama hasil jaringan pembukaan Roberto Firmino pada minit ke-43, Nathaniel Philips (52') dan Alex Oxlade-Chamberlain pada minit ke-88 bagi mengesahkan kemenangan The Reds.
Kemenangan itu sekali gus melonjakkan Liverpool pada kedudukan keempat dan berkongsi mata dengan Leicester City, cuma dibezakan dengan jumlah jaringan gol.
Sementara itu, Klopp dengan tegas menafikan kemenangan 3-0 ke atas Burnley pada awal pagi Khamis sudah diatur ebih awal menjelang aksi terakhir liga musim ini berdepan The Eagles.
"Tiada apa yang telah diputuskan tetapi kami telah berjaya meningkatkan permainan dan berada di ‘final.’ Itu yang kami perlukan dan ia adalah hasil aksi terbaik daripada pemain,” katanya.