Covid-19: Ketepikan kepentingan politik, cari jalan keluar

Iklan
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Sekarang adalah masa terbaik untuk semua wakil rakyat mengetepikan kepentingan politik dan perbezaan, sebaliknya bersama-sama mencari jalan keluar mengatasi masalah Covid-19 serta kelembapan ekonomi semakin meruncing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor untuk duduk bermesyuarat bagi bersama-sama membincangkan isu berkenaan merupakan isyarat bahawa wujud keperluan mencari formula terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

"Saya bersetuju dan menyokong titah Tuanku Sultan Johor. Kita harap perkara ini akan mendapat perhatian pihak kerajaan negeri dan ahli-ahli Parlimen Johor dengan segera.

"Kembalikan amalan demokrasi yang sihat, terbuka dan menyantuni perlembagaan. Semoga kita semua selamat dan krisis ini akan berakhir segera," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil serius titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen Malaysia boleh bersidang, sekalipun negara berada dalam perintah darurat.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa persidangan tersebut hendaklah berkuatkuasa pada satu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat dan saranan Perdana Menteri.

Iklan

"Namun, hampir tiga bulan selepas titah tersebut, Perdana Menteri nampaknya masih tidak memberikan sebarang saranan dan nasihat berkaitan. Malah, beliau kelihatan tidak berminat untuk membuka semula sidang Parlimen dalam masa terdekat.

"Titah tersebut jelas menunjukkan bahawa wujud keperluan dan kepentingan yang mendesak untuk kerajaan kembali bersidang," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan yang berjalan tanpa instrumen semak dan imbang dalam forum seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tidak akan mempunyai kebertanggungjawaban yang terbaik.

Malah, katanya, saranan serta suara yang rakyat kebanyakan tidak akan boleh diangkat dengan sewajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sultan Ibrahim seru perbincangan semua ahli Parlimen, ADUN