Armada Iskandar Puteri kecam kenyataan Bekas ADUN Skudai

Iklan
Mohd Fahim (kiri) bersama Cheng Hau dalam satu program di Iskandar Puteri sebelum ini

JOHOR BAHRU - Kenyataan bekas ADUN Skudai dari DAP, Dr Boo Cheng Hau mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat kecaman Armada Bersatu Iskandar Puteri.

Ketuanya, Mohd Fahim Mohd Farid berkata, kenyataan bekas Pengerusi DAP Johor itu juga tidak bertanggungjawab dan dangkal.

Iklan
Iklan

"Saya kira Dr Boo Cheng Hau sebagai AJK DAP Johor dan juga bekas ADUN Skudai seharusnya lebih arif dan mengetahui bahawa manifesto PH adalah satu dokumen yang dibuat secara bersama oleh semua komponen parti PH.

"Sebagai rakan komponen dalam PH, Dr Boo Cheng Hau sepatutnya faham kenapa ketika ini ada tawaran yang dijanjikan masih belum terlaksana berikutan kedudukan kewangan negara kita tidak stabil ketika ini," katanya di sini, semalam.

Iklan

Menurutnya, pasukan manifesto PH juga berdepan pelbagai kesulitan ketika sedang merangka tawaran dalam buku Harapan antaranya banyak data-data penting yang disembunyikan oleh kerajaan terdahulu.

"Tidak adil sama sekali untuk meletakkan segala beban penyelesaian terhadap perdana menteri sahaja. Perkara ini seharusnya menjadi tanggungjawab bersama semua kepimpinan dalam PH untuk menjayakan tawaran yang dijanjikan pada PRU14," katanya.

Iklan

Exco Armada Bersatu Pusat itu berkata, Cheng Hau seharusnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu dan bersama membantu kepimpinan menyelesaikan masalah dihadapi dan bukannya melakukan ‘friendly fire’ dalam pasukan sendiri.

"Tindakan segelintir individu seperti Dr Boo Cheng Hau ini dikhuatiri boleh menjadi titik permulaan memecah-belahkan parti komponen PH memandangkan beliau juga mempunyai rekod lampau yang boleh menjejaskan permuafakatan PH.

"Antaranya sering mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai Pengerusi PH dan calon Perdana Menteri selain mempersoalkan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kepimpinan PH Johor sebelum PRU14. Malah saya difahamkan banyak perkara dibuat beliau bercanggah dengan kepimpinan parti DAP," katanya.

Mohd Fahim berkata, Cheng Hau didesak untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf kepada semua kepimpinan PH.