SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan pihaknya menerima undangan semula bagi menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan diadakan pada Jumaat.
Perkembangan itu dimaklumkan Amirudin menerusi ciapan terkini di laman Twitter pada Khamis.
Menurut Amirudin, beliau komited untuk menghadiri mesyuarat berkenaan bagi mengetengahkan pandangan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat Selangor.
"Terkini, saya baru sahaja menerima maklum bahawa MB (menteri besar) dan ketua menteri akan diundang semula hadir ke mesyuarat MKN yang dijadualkan esok (Jumaat).
"Terima kasih atas undangan semula ini, saya komited hadir untuk ketengahkan pandangan demi kepentingan rakyat Negeri Selangor," ciapnya.
Sebelum ini, Amirudin menerusi ciapan di laman Twitter memaklumkan mesyuarat MKN yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya pada Jumaat tidak akan disertai menteri besar atau ketua menteri seperti kebiasaan.
Amirudin berkata, beliau telah mengesahkan kehadiran pada Rabu seperti yang diminta sebelum ini, namun pihaknya kemudiannya dimaklumkan mesyuarat berkenaan tidak akan melibatkan kehadiran menteri besar dan ketua menteri seperti sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Khamis berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ di seluruh negara pada Mesyuarat MKN Covid-19 di Putrajaya pada Jumaat.
Katanya, mesyuarat tersebut dijangka dihadiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua-ketua menteri dan menteri besar.
ARTIKEL BERKAITAN: Menteri besar, ketua menteri tidak sertai mesyuarat MKN esok