KUALA LUMPUR - Sanggupkah anda melakukan ‘lockdown’ atau kawalan kendiri? Dengan lonjakan kes harian Covid-19 sehingga melebihi 6,000 kes sehari, mungkin sudah tiba masanya masyarakat mengambil insiatif sendiri, untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Hari demi hari data menunjukkan peningkatan kes mendadak, ditambah pula dengan varian-varian baharu yang belum dapat difahami sepenuhnya oleh pakar-pakar kesihatan, termasuk kes tertinggi sebanyak 6,806 pada Khamis.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Azimatun Noor Aizuddin berkata, PKP kendiri antara pilihan terbaik ketika ini bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan impak negatif ekonomi.
Pensyarah Perubatan Kanan Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, semua pihak sedia maklum kesan risiko yang akan berlaku sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara sepenuhnya, terutama sektor ekonomi.
"Peranan setiap pihak amat penting ketika ini, dalam menentukan kemenangan melawan pandemik Covid-19.
"Kerajaan sebagai pemerintah juga sentiasa mempertimbangkan baik dan buruk dalam menjalankan tindakan yang diambil, selain rakyat sama-sama membantu dan memainkan peranan masing-masing demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Di platform media sosial pula kini turut trending membabitkan tanda pagar 'Road to 10k (10,000)' di Twitter, yang merujuk kepada 10,000 kes sehari dengan luahan kekecewaan warganet berhubung perkembangan pandemik itu, yang melanda negara ini.
Mengulas lanjut Azimatun berkata, SOP yang digariskan bukan semuanya dikategorikan norma baharu tetapi norma yang sepatutnya dan ditambah baik mengikut kesesuaian semasa dan keadaan dengan virus Covid-19 ini.
"Virus ini sangat merbahaya dan SOP yang ditetapkan perlu diwajibkan dengan undang-undang, memandangkan terdapat segelintir pihak yang mengambil ringan perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam hantaran di Twitter pada Khamis menyarankan supaya orang ramai melaksanakan sekatan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' bagi memutuskan rantaian Covid-19.
Antara saranan itu ialah mencadangkan, setiap orang hanya keluar membeli barangan keperluan seminggu sekali, isi minyak kenderaan sehingga tangki penuh dan solat berjemaah lima waktu bersama ahli keluarga di rumah.
Selain itu, KKM turut mencadangkan supaya mengoptimumkan pembelian dalam talian dan tidak menerima kunjungan tetamu di rumah.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (SAMENTA ) bahagian tengah, Datuk William Ng berkata, PKP penuh yang dicadangkan sesetengah pihak akan menyebabkan beribu syarikat kecil dan sederhana (SME) gulung tikar, yang akan menyebabkan berlakunya satu lagi pusingan pembuangan pekerja.
"Kerosakan kepada ekonomi kita tidak akan dapat dipulihkan, pada ketika kita sedang bersedia untuk pemulihan pada ketika pelaksaan vaksinasi kebangsaan dilakukan.
"Kita bersatu bersama-sama persatuan perdagangan lain seperti Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EUROCHAM), menolak kepada PKP sepenuhnya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat untuk Pendidikan Pasaran (CME), Dr Carmelo Ferlito berkata, adalah dinyatakan bahawa PKP sepenuhnya boleh menghentikan penularan virus itu dan oleh sebab itu ia adalah suatu yang munasabah untuk mengorbankan sesuatu untuk sesuatu yang lebih baik.
"Bagaimanapun, telah dibuktikan oleh banyak kajian saintifik (dan pemerhatian stastistik mudah) yang PKP penuh tidak berkesan, kesan terbaiknya hanyalah, ia melambatkan proses itu. Tiada negara Barat berjaya mengatasi Covid-19 dengan penutupan penuh. Mereka telah mencuba dan ia gagal,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu mengenakan semula pengenalan PKP bagi mencapai kejayaan seperti PKP pertama dikenakan pada Mac tahun lepas.
"Kita perlu memastikan orang ramai duduk di rumah mereka. Tiada sepatutnya ada sebarang alasan untuk adanya perhimpunan. Kekal jarak antara satu sama lain perlu dikenakan walaupun dalam kalangan barisan hadapan.
"Walau apa pun yang menjadi penyebab kepada peningkatan pandemik masa kini, apa yang perlu di lakukan ialah cara untuk mengatasinya, cubaan untuk mengurangkan jumlah kes baharu itu akan melibatkan banyak peruntukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dr Mahathir berkata, program vaksinasi perlu dipercepatkan lagi dan orang ramai perlu menerima apapun jenis vaksin yang telah digunakan di negara lain dengan banyak dan dikebanyakan negara, dengan hanya satu suntikan vaksin sahaja dapat mengurangkan jumlah kes baharu, tetapi mereka yang telah divaksinkan juga perlu untuk diuji dan diuji semula.
Gesaan itu dipersetujui oleh Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, yang mahu PKP 3.0 diperketatkan seperti mana PKP 1.0, agar kes harian dapat diturunkan dengan drastik dan rakyat kini tertekan dengan PKP yang berlarutan menyebabkan kes harian tidak turun. - Bernama