Tempoh jawatan senator tiga tahun mencukupi

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tempoh tiga tahun untuk senator tidak perlu dilanjutkan kerana ia mencukupi untuk mereka menyumbang kepada rakyat dan negara, menurut penganalisis politik tempatan.

Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata tempoh tiga tahun untuk Ahli Dewan Negara di bawah sistem sedia ada memadai dan individu lain yang berpotensi atau sesuai harus menggantikan mereka apabila tempoh berakhir.

Iklan
Iklan

"Apa yang saya maksudkan dengan sistem sedia ada ialah senator tidak dipilih melalui pilihan raya, jadi dengan sebab itu, tiga tahun sudah cukup. Saya lebih suka tempoh senator terhad hanya satu penggal untuk memberi peluang kepada orang lain turut menyumbang memandangkan mereka dicalonkan oleh parti masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran dilaporkan meminta Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara untuk melihat kepada cadangan memanjangkan tempoh keanggotaan senator kerana senator yang berkhidmat untuk tempoh tiga tahun tidak layak mendapat pencen penuh.

Iklan

Pada masa ini, senator dilantik untuk tempoh tiga tahun bagi satu penggal, dan berkemungkinan disambung untuk tiga tahun lagi.

Azmi berkata sekiranya senator tidak dipilih melalui pilihan raya atau dicalonkan oleh parti, elaun bulanan mereka sudah lebih daripada mencukupi.

Iklan

"Ahli Parlimen yang bertanding perlu berkorban kerjaya, tidak seperti senator. Oleh itu, saya tidak fikir adalah wajar untuk tempoh senator dilanjutkan hanya untuk memastikan mereka layak mendapat pencen,” katanya.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata lanjutan tempoh senator tidak dinyatakan secara eksplisit dalam Perlembagaan Persekutuan dan agak sukar dilakukan kerana ia memerlukan pindaan Perkara 45 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sekiranya tujuan memanjangkan tempoh senator hanya untuk membolehkan senator layak menerima pencen penuh, maka cadangan itu tidak layak mendapat pertimbangan sama sekali.

"Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara seharusnya perlu fokus kepada lebih banyak kaedah yang mungkin untuk memperkasakan Dewan Negara termasuk melihat Perkara 45(4) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelasnya memperuntukkan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang menambah bilangan Ahli Dewan Negara yang akan dipilih bagi setiap negeri kepada tiga orang, berbanding dua orang pada masa ini.

"Perkara 45(4) juga menyatakan Parlimen boleh melalui undang-undang memperuntukkan bahawa setiap Ahli Dewan Negara yang akan dipilih bagi setiap negeri, dipilih melalui undian terus oleh pemilih di negeri berkenaan,” katanya.

Kamarul Zaman berkata tumpuan juga harus diberikan kepada meningkatkan kualiti senator yang dilantik oleh kerajaan persekutuan supaya mereka benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Perkara 45(2) yang mengatakan:

"Mereka hendaklah orang yang memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli”.

Menurut beliau, amalan sebelum ini oleh kerajaan persekutuan adalah melantik senator bagi memberi ganjaran kepada anggota parti yang kalah dalam pilihan raya atau mewujudkan hubungan politik. Bagaimanapun, kebanyakan mereka akhirnya tidak lagi produktif justeru menjadikan Dewan Negara sebagai ‘rubber stamp’.

"Sekiranya pelantikan senator oleh kerajaan persekutuan mengikuti kriteria yang ditetapkan oleh Perkara 45(2) maka Dewan Negara secara automatik akan diperkasakan, ditambah dengan angka dan kaedah baharu dalam melantik senator oleh negeri-negeri,” katanya.

Menurut penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, sekiranya tempoh senator dilanjutkan, konsep melantik senator telah menyimpang daripada sistem penggiliran yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau menjelaskan bahawa pelantikan senator pada dasarnya dibuat berdasarkan bidang kepakaran, pengalaman dan pengetahuan luas mereka untuk membantu kerajaan membahaskan beberapa undang-undang dan polisi tertentu.

"Jika konsep pelantikan ini berterusan dan berpanjangan (dengan orang yang sama), idea mereka mungkin tidak segar lagi. Kewujudan kelompok senator ini perlu diperbaharui dari semasa ke semasa.

"Tanggungjawab seseorang senator itu melangkaui kepentingan parti dan peribadi. Kepentingan mereka adalah kepada rakyat dan negara,” tambah beliau.- Bernama