SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh seperti PKP 1.0 pada Mac tahun lalu.
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pelaksanaan PKP penuh akan memberi impak cukup besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.
Katanya, negara mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari ketika pelaksanaan PKP 1.0 dan pada PKP 3.0 kerugian dianggarkan RM300 juta sehari.
"Ketika PKP 1.0 juga seramai 107,000 pekerja diberhentikan, manakala 32,000 syarikat terpaksa ditutup. Jadi kita tidak mahu keadaan ini berulang," katanya.
Media pada Khamis melaporkan kerajaan akan membincangkan cadangan pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat tersebut dijangka dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua-ketua menteri dan menteri besar.
Malaysia merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 tertinggi 6,806 kes pada Khamis dan 6,075 kes dengan 47 kematian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, pelaksanaan PKP penuh juga akan membuatkan usaha pemulihan ekonomi yang sedang dilakukan kerajaan akan terbantut.
Tegas beliau, kerajaan perlu mengetatkan prosedur operasi standard (SOP)bagi menangani peningkatan jangkitan Covid-19 yang melonjak ketika ini.
Shamsuddin berkata, semua pihak termasuk premis perniagaan dan rakyat juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan dan mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Semasa PKP 1.0 dahulu kita lihat semua tempat menyediakan cecair pensanitasi tangan terutama di stesen minyak manakala rakyat pula sangat menjaga jarak fizikal di tempat awam.
"Bagaimanapun selepas setahun berlalu, kita lihat keadaan ini makin berubah. Kita dah tak jaga jarak, dah tak pakai cecair pembasmi kuman,” katanya.
Beliau berkata, situasi ini menjadi salah satu punca kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat setiap hari.
Shamsuddin turut menggesa kerajaan agar mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat.
Katanya, perkara itu sangat penting untuk membendung penularan wabak itu kerana setakat ini hanya 1.2 juta rakyat sahaja yang baharu menerima dos pertama vaksin.