BEKAS pengendali Chelsea, Frank Lampard membalas kritikan pemain tengah The Blues, Jorginho yang menyifatkan dirinya tidak bersedia untuk melatih kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Menurut Lampard, dia tidak terkejut dengan kritikan daripada Jorginho itu apatah lagi pemain itu mungkin menyimpan dendam selepas kurang diturunkan ketika kelab itu dibawah kendaliannya.
"Ketika saya meninggalkan kelab sebagai seorang pengurus, akan ada beberapa pemain yang kurang diberikan minit bermain dan mereka mungkin mempunyai perasaan atau penilaian tentang bagaimana saya bekerja dan mereka akan membuat kenyataan sebegitu.
"Saya sudah mengetahui perkara ini akan berlaku dan saya sudah bersedia dengan setiap kritikan sebegini. Saya juga banyak menerima kata-kata positif daripada pemain lain yang pernah saya latih.
"Saya tidak ada masalah besar mengenai perkara ini. Saya banyak kali mendengar orang mengatakan Frank Lampard mengambil pekerjaan ini dengan sepenuh hati. Sebenarnya tidak begitu, saya tidak membuat keputusan profesional dengan hati saya," katanya.
Lampard dilantik sebagai pengurus Chelsea pada musim panas 2019, menggantikan Maurizio Sarri yang berpindah ke Juventus.
Pada musim pertamanya di Chelsea, Lampard memperagakan sesuatu yang positif dengan membentuk barisan pemain muda yang berkualiti dan memastikan The Blues berjaya mengakhiri saingan liga di kedudukan keempat pada musim 2019/2020.
Namun, persembahan positif Chelsea bagaimana merudum pada musim kedua Lampard di kelab itu sekali gus menyaksikannya dipecat pada Januari 2021.