SABAK BERNAM - Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) berjaya melahirkan kira-kira 32 golongan belia, graduan dan komuniti setempat sebagai juruterbang dron pertanian (ADP).
Pengarahnya, Kamal Bakshir Mohd Kassim berkata, kesemua ADB yang mengikuti kursus di KKSB itu nanti mampu memberikan perkhidmatan dron untuk kerja-kerja seperti meracun, membaja dan menabur benih padi.
Malah, katanya, perkhidmatan teknologi itu turut disediakan bagi sektor tanaman lain seperti pisang, nanas, jagung, kelapa sawit dan tanaman fertigasi.
"Program ini mendapat kerjasama dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, Johor yang merupakan pusat latihan dron, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan syarikat pengendali perkhidmatan dron pertanian, ADP SyTech (M) Sdn Bhd (SyTech).
"Kerjasama ini diharap mampu melahirkan lebih ramai belia dan komuniti sebagai ADB yang mahir," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Kamal Bakshir berkata, kerjasama pintar KKSB yang merupakan salah sebuah institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan ILP dan SyTech akan menjadikan KKSB sebagai pusat latihan dan rujukan dron komuniti khususnya bagi pengendalian pesawat tanpa pemandu (UAV).
"Hasil kerjasama ini, KKSB telah menganjurkan empat siri Kursus Asas Pengendalian Dron Pertanian bagi persediaan sebagai ADB," katanya.
Beliau memberitahu, kerangka yang dibangunkan itu menepati keperluan dan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian dron pertanian yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"Ia merangkumi undang-undang, peraturan, penyelenggaraan, bancuhan racun, teknik pengendalian atau penerbangan dron pertanian secara teori dan amali," katanya.