SHAH ALAM - Rakyat Malaysia meminta untuk diadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya bagi mencegah wabak Covid-19 daripada terus merebak memandangkan jumlah kes dan kematian meningkat tinggi.
Menurut laporan The Star, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin mengatakan bahawa pada enam hari lalu, beliau menyokong untuk tidak melaksanakan PKP sepenuhnya.
Namun begitu, beliau berubah fikiran setelah kehilangan beberapa rakannya dan seorang pekerjanya yang telah berkhidmat selama 30 tahun kini berada di unit rawatan rapi (ICU).
"Pemandu peribadi saya positif Covid-19. Sepupu saya, anak saudara saya juga positif Covid-19 dan mereka memberitahu saya tentang kesakitan yang dilalui.
"Terus terang, mungkin ramai antara kita dapat meneruskannya tetapi saya secara peribadi mengalami tekanan emosi.
"Saya mempunyai ibu berusia 86 tahun dan dia masih hidup sehingga hari ini. Saya bersyukur kepada Tuhan bahawa dia tidak terkena jangkitan Covid-19 kerana saya tahu dia tidak akan bertahan jika perkara tersebut berlaku.
"Mari kita berkorban. Ya, mungkin ada yang lapar tetapi saya yakin tidak ada yang akan mati kelaparan. Ramai antara kita akan kehilangan berjuta-juta dan bank-bank tanpa belas kasihan akan mengejar kita tetapi jika kita dapat menyelamatkan satu nyawa, ia akan bernilai semua pengorbanan,” katanya pada Jumaat.
Selain itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lonjakan angka Covid-19 yang mengejutkan mesti segera diatasi dan kerajaan perlu memastikan rakyat dapat bertahan dalam masa yang sukar ini.
Dr Mahathir juga meminta agar program vaksinasi dipercepat dan penduduk di kawasan pedalaman juga perlu diberikan vaksin.
Menurut beliau, langkah melaksanakan PKP adalah satu langkah yang tepat dan perlu lebih tegas untuk melakukannya.
Katanya, seharusnya tidak ada alasan yang boleh diberikan oleh masyarakat untuk keluar dari rumah dan jarak fizikal perlu diterapkan walaupun dalam kalangan barisan hadapan.
"Mengurung orang di rumah bererti mereka tidak akan mempunyai wang dan makanan. Pemerintah mesti menerima tanggungjawab untuk memastikan mereka dapat kelangsungan hidup.
"Ini adalah usaha yang sangat berharga. Namun begitu, kos harus juga ditanggung oleh pihak kerajaan,” ujarnya.
Turut bersetuju, Pakar virologi Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar menyatakan bahawa negara ini memerlukan penutupan sepenuhnya kerana kes yang semakin meningkat.
"Kita sepatutnya hanya boleh membiarkan mereka yang negatif Covid-19 dan yang berada dalam gelembung hijau untuk bergerak sama ada untuk bekerja atau sebaliknya.
"Oleh itu, majikan mesti mengadakan ujian saringan kepada semua pekerjanya untuk memastikan mereka bebas Covid-19 sebelum mereka dibenarkan bekerja.
Majikan juga harus mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan menerapkan amalan di tempat kerja yang selamat, ” katanya.
Dr Sazaly juga mendesak agar penyelesaian jangka panjang dilakukan agar tidak perlu melalui pembukaan dan penutupan aktiviti ekonomi secara berulang kali.
Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia turut mengatakan bahawa mengadakan penutupan secara keseluruhan perlu dilakukan kerana PKP yang dilaksanakan sebelum ini dilihat tidak berkesan.
Selain itu, memetik pandangan Profesor Kesihatan Umum Universiti Nasional Singapura, Teo Yik Ying mengatakan bahawa PKP secara menyeluruh diperlukan sekiranya sistem kesihatan negara berada dalam keadaan yang tidak terkawal.
"Kami meminta kerajaan untuk mengeluarkan penutupan negara yang lebih ketat untuk memastikan kami memutuskan rantaian jangkitan. Kami bersedia untuk berjuang demi bangsa dan rakyat tetapi pada masa yang sama melaksanakan pakej rangsangan pemulihan ekonomi yang mendesak, ” katanya.
Yik Ying berkata, PKP penuh perlu disertakan dengan pakej bantuan ekonomi yang terdiri daripada sokongan kewangan, moratorium automatik tanpa faedah, penangguhan pembayaran balik institusi kewangan lain seperti sewa beli dan pembayaran pajakan, program subsidi upah, pengecualian berkanun, subsidi utiliti, dan pendekatan seluruh negara untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy menggesa orang ramai untuk mengamalkan kuarantin kendiri seperti yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan.
Jelasnya, setiap orang mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk memutuskan rantaian jangkitan.
"Kita hanya perlu keluar ketika benar-benar diperlukan, merancang dan membeli bahan makanan seminggu sekali dan seberapa banyak yang mungkin, dan bekerja dari rumah.
"Varian yang baharu telah menular. Jangan beri peluang kepada virus untuk menjangkiti anda dan orang lain, ” katanya.