SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta supaya berhenti menyusahkan pelajar melalui beberapa keputusan yang disifatkan sebagai 'separuh masak' dan dilakukan pada saat akhir.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, meskipun negara sudah menghadapi Covid-19 lebih setahun, namun beberapa keputusan dan panduan yang dikeluarkan KPT termasuklah yang terbaharu dilihat masih tidak jelas dan matang.
Katanya, keputusan yang dibuat itu dilihat bukan sahaja menyusahkan malah turut meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pelajar kerana ia menyumbang kepada kekerapan pergerakan.
"Setelah lebih setahun berhadapan dengan pandemik Covid-19, KPT sekali lagi tidak berhenti menyusahkan mahasiswa.
"Kali ini KPT membenarkan pelajar universiti pulang ke kampung halaman untuk sambutan Aidilfitri, dan mengakibatkan ada mahasiswa yang 'dihalau' pulang ketika mereka mahu kembali semula ke kampus akibat kawasan universiti terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Bukankah sepatutnya dari peringkat awal mahasiswa tidak dibenarkan pulang? Keputusan tidak matang seperti ini bukan sahaja akan merugikan mahasiswa, malah meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 melalui pergerakan yang kerap,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada tahun lepas, ramai pihak mempertikaikan keputusan saat akhir yang dilakukan oleh KPT dalam pengumumannya mengenai penangguhan pendaftaran secara fizikal bagi pelajar di beberapa universiti.
Ini kerana keputusan tersebut didapati telah memberikan kesan kepada pelajar yang telah sampai di universiti dan datang dari jauh selain turut menyukarkan mereka yang sudah pun melakukan pengambilan rumah sewa.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pendidikan berkata, KPT sepatutnya melihat secara kritikal impak keputusan yang dilakukannya terutamanya jika ia berlaku pada saat-saat akhir.
"Saya sarankan KPT berhentilah menyusahkan mahasiswa. Sila keluar daripada tema 'keputusan saat-saat akhir' atau 'keputusan separuh masak' yang telah menjadi tema utama kerajaan Perikatan Nasional,” ujarnya.
Pada 15 Mei lalu, KPT melalui ciapan di Twitternya telah mengeluarkan panduan dan mengenai kaedah pergerakan pulang pelajar ke IPT yang bermula pada 15 hingga 20 Mei.
Terdapat tiga kaedah pergerakan pulang pelajar ke kampus yang ditetapkan KPT ialah menggunakan kenderaan sendiri, dihantar oleh ibu bapa atau penjaga dan menggunakan bas yang diselaraskan oleh pihak IPT.
Ciapan tersebut bagaimanapun tidak menyentuh mengenai sebarang isu berkaitan pergerakan kembali pelajar bagi IPT yang terletak di kawasan yang dikenakan PKPD.