Pasaran buruh alami ketidaktentuan

Iklan
Pasaran buruh Malaysia mengalami ketidaktentuan momentum pemulihan pada suku pertama tahun ini.

PUTRAJAYA - Pasaran buruh Malaysia mengalami ketidaktentuan momentum pemulihan pada suku pertama tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia berikutan langkah bersasar bagi membendung krisis kesihatan awam negara yang berlarutan.

Iklan
Iklan

"Mekanisme yang lebih sistematik dan bersasar bagi meratakan gelombang ketiga Covid-19 dengan mengimbangi kestabilan sektor ekonomi telah mencatatkan penurunan tahun ke tahun yang lebih perlahan iaitu 0.5 peratus pada suku pertama 2021 berbanding penyusutan 3.4 peratus pada suku sebelumnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kemasukan ke pasaran buruh meningkat seperti digambarkan oleh penurunan kecil kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak negatif 0.2 mata peratus kepada 68.6 peratus berbanding penurunan 0.6 mata peratus pada suku keempat 2020.

Iklan

"Dari segi penawaran buruh, penduduk bekerja merekodkan penurunan kecil tahun ke tahun sebanyak 7,000 kepada 15.24 juta orang pada suku pertama 2021

berbanding pengurangan 93,000 pada suku sebelumnya," katanya.

Iklan

Namun begitu beliau berkata, bilangan penganggur kekal tinggi sejak suku kedua 2020, dengan tambahan 225,000 daripada 547,000 orang pada suku tahun pertama 2020 kepada 772,000 orang penganggur pada suku ini.

"Justeru, kadar pengangguran meningkat 1.3 mata peratus tahun ke tahun kepada 4.8 peratus," katanya.

Mohd Uzir berkata, bilangan tenaga buruh naik 1.4 peratus mencatatkan 16.01 juta orang.

Mohd Uzir Mahidin

"Dalam tempoh yang sama, luar tenaga buruh meningkat 2.1 peratus kepada 7.32 juta orang," katanya dalam Sorotan Pasaran Buruh, Suku Pertama 2021.

Menyentuh mengenai permintaan buruh, beliau berkata, lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sejak pertengahan Februari dan awal Mac.

"Oleh itu, permintaan buruh pada suku ini menurun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.5 peratus yang merekodkan 8.44 juta jawatan berbanding suku pertama 2020, 8.57 juta.

"Penurunan dalam bilangan jawatan disumbangkan oleh pengurangan 141,000 jawatan diisi kepada 8.26 juta," katanya.

Tambah Mohd Uzir, walaupun pertubuhan berdepan dengan cabaran kerana pandemik, kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi naik 12,000 kepada 178,000.

"Ini menunjukkan permintaan pekerjaan yang lebih banyak berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

"Sementara itu, 17,000 jawatan diwujudkan yang mana lebih separuh adalah dalam kategori separuh mahir," katanya.

Menurutnya, susulan waktu operasi perniagaan yang terhad semasa PKP 2.0, jumlah jam bekerja turun 0.9 peratus dari suku pertama 2020 kepada 8.54 bilion jam.

"Oleh kerana nilai ditambah turun pada negatif yang lebih kecil berbanding dengan kejatuhan jam bekerja, produktiviti buruh per jam bekerja pulih 0.4 peratus kepada RM40 per jam," katanya.

Beliau berkata, walaupun didapati penurunan tahun ke tahun adalah lebih perlahan bagi kebanyakan indikator yang mana menunjukkan momentum pemulihan yang optimis, senario pasaran buruh pada suku ini belum kembali seperti tempoh sebelum Covid-19.

"Menuju ke hadapan, PKP 3.0 telah dilaksanakan mulai 12 Mei sehingga 7 Jun 2021 disebabkan jangkitan harian yang terus meningkat.

"Dengan cabaran baharu ini, para peniaga mungkin akan terus berdepan dengan situasi yang kurang memberangsangkan pada suku kedua 2021.

"Keadaan ini dijangka akan menyebabkan gangguan terhadap momentum pemulihan pasaran buruh," katanya.