Henti pencerobohan rejim Zionis ke atas Palestin, dakwa Israel: NGO

Iklan
Pencerobohan rejim Zionis serta pengusiran rakyat Palestin dari kampung halaman mereka oleh Israel wajib dihentikan serta-merta. Foto Xinhua

KUALA LUMPUR - Pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa, Palestin dan seluruh kompleks persekitarannya serta pengusiran rakyat Palestin dari kampung halaman mereka di Sheikh Al-Jarrah oleh Israel wajib dihentikan serta-merta, menurut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pertubuhan itu berpendirian sedemikian meskipun perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dipersetujui pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis) dengan Mesir bertindak sebagai perantara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengemukakan pelan jangka panjang secara menyeluruh yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan hak rakyat Palestin.

Menurut Muhammad Faisal, ABIM menggesa Majlis Keselamatan PBB di bawah mandat Perkara 41 Piagam PBB untuk meluluskan operasi keamanan ke Palestin bagi menjaga serta memberi jaminan keselamatan kepada penduduk awam di negara tersebut.

Iklan

"ABIM juga berpandangan PBB serta OIC boleh menubuhkan misi tentera pengaman khusus di Palestin serta wilayah bergolak di sekitarnya. Mandat tentera pengaman ini tidak dihadkan pada tempoh tertentu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Faisal berkata, keganasan yang sentiasa berulang sejak beberapa dekad lalu adalah justifikasi penting untuk badan antarabangsa segera bertindak menangani sebarang kemungkinan.

Iklan

Pada masa sama, beliau berkata, ABIM menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya kekal konsisten dan mempercepat proses pendakwaan ke atas Israel.

Pada Jumaat, media antarabangsa melaporkan Kabinet Keselamatan Israel meluluskan syor untuk menamatkan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung sejak 10 Mei dan bersetuju dengan gencatan senjata.

Sejumlah 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita, terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 10 Mei.

Sementara itu sebuah badan bukan kerajaan, Pusat KOMAS yang menyambut baik pengumuman gencatan senjata itu, dalam kenyataan lain mendesak Israel berhenti daripada menggunakan tindakan ketenteraan terhadap orang awam kerana ia akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan bangunan penting dan kelumpuhan perkhidmatan awam.

"Kami juga menggesa Hamas dalam haknya untuk mempertahankan negara, agar tidak menggunakan keganasan yang disasarkan kepada orang awam Israel. Walaupun keganasan telah berhenti buat masa ini, para pemimpin dunia harus bersama-sama mewujudkan keamanan yang berkekalan untuk rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Pusat KOMAS adalah pusat komunikasi popular hak asasi manusia yang ditubuhkan pada Ogos 1993 untuk memperkasakan terutamanya penduduk asal, miskin bandar, pekerja dan pertubuhan masyarakat sivil untuk menyokong hak asasi manusia di Malaysia.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan berasingan mengalu-alukan gencatan senjata di Gaza itu dan mendesak pengepungan Gaza dan penjajahan Palestin juga harus ditamatkan.

Menurutnya, MAPIM turut menyeru masyarakat dunia mempercepatkan bantuan kemanusiaan dan segera membangunkan kembali Gaza hingga menjadi normal.

"Walaupun ini adalah pengulangan proses membangun-menghancurkan-membangun kembali yang tidak seharusnya terjadi, kenyataannya bantuan kemanusiaan yang mendesak tidak dapat diabaikan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MAPIM menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) segera memulakan siasatan terhadap tindakan jenayah Israel, malah ICC tidak dapat ditundukkan oleh pembangkang Amerika Syarikat kerana Israel terikat dengan pelbagai perjanjian di bawah undang-undang antarabangsa.

"Kami menolak sebarang kompromi dan mengutuk penyelesaian haram yang sedang berlangsung di Tebing Barat yang merupakan strategi perluasan Israel. Kecuali usaha ini dihentikan dan tanah yang dirampas dikembalikan kepada rakyat Palestin, ketegangan tidak akan reda," katanya. - Bernama