SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan negara-negara Teluk yang menguasai pasaran minyak dunia memutuskan bekalan tersebut kepada Israel.
Kata Dr Mahathir, walaupun negara Islam tidak memiliki kekuatan persenjataan namun masih menguasai pasaran minyak diperlukan seluruh dunia termasuk Israel.
"Perkara tersebut boleh dijadikan sebagai satu tekanan kepada mereka. Pendapat saya, kita kaji dulu apa yang kita ada. Apa kita boleh buat kerana kita mempunyai kuasa tertentu. Bekalan minyak di seluruh dunia contohnya, dikuasai oleh kita.
"Kalau kita tak beri minyak, mereka tak boleh buat apa-apa. Ini boleh kita lakukan secara halus sehingga mereka tak dapat buat apa-apa kepada kita. Sebab itu saya berpendapat, dalam melakukan sesuatu peperangan, kita harus senaraikan kuasa yang ada pada kita dan musuh kita dan siapa yang boleh jadi kawan kita. Itu amat penting," katanya ketika menjadi ahli panel program Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza di Astro Awani pada Khamis.
Turut menjadi panelis, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford Datuk Dr Afifi Al-Akiti.
Menurut Dr Mahathir, untuk mencapai kejayaan perlu mempunyai strategi yang betul selain mengenal pasti kekuatan dan kuasa yang ada pada musuh.
Tambahnya, mengambil contoh sewaktu Perang Dunia kedua apabila British menjadikan Rusia sebagai kawan walaupun hakikatnya mereka adalah musuh.
"Mereka tahu, kalau Rusia lawan Jerman, maka serangan terhadap Britain kurang sedikit. Kalau waktu perang itu cuma Britain saja hendak lawan Jerman, saya tak rasa mereka mampu.
"Tetapi apabila dapat kerjasama dengan Amerika dan Rusia, maka dengan itu, mereka mencapai kemenangan. Ini strategi dan kita perlu ada strategi dalam apa-apa juga perjuangan kita," kata beliau.
Sementara itu, Abdul Hadi berpendapat, umat Islam perlu mendalami ilmu agar tidak menjadi jahil dan boleh dijadikan sebagai alat yang menguntungkan Barat.
Katanya, kesedaran dan kefahaman perlu diberikan kepada umat Islam supaya tidak melakukan pembunuhan secara tidak tentu hala.
"Contoh di Eropah, bunuh orang Islam sendiri, bom masjid, bom sekolah, pasar, kedutaan. Mengikut hukum Islam, kedutaan tidak boleh dibom walaupun kedutaan negara musuh. Ini hukum syarak, tetapi mereka tak tahu, jahil agama.
"Mungkin musuh-musuh kita menggunakan kejahilan kita sendiri untuk menimbulkan masalah," katanya.
Sementara itu, Afifi menyeru Malaysia dan negara Islam lain supaya mengikut jejak Republik Ireland yang menentang penuh negara haram Israel menerusi dasar kerajaannya.
Katanya, terdapat dua perkara yang dilakukan oleh negara tersebut iaitu merangka undang-undang untuk memboikot, menghentikan apa sahaja pelaburan dengan kepentingan Israel dan menyekat perdagangannya bermula pada 2018.
"Polisi kedua, Ireland hantar secara langsung bantuan kepada Palestin. Bukan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi kerajaan mereka sendiri yang hantar bantuan, hantar jurutera untuk bina loji-loji air, hantar doktor, bukan saja sumbangan kewangan tetapi juga bina infrastruktur,” katanya.