SHAH ALAM - Red One Network (Thailand) Co. Ltd.(redONE), pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) secara rasmi telah melancarkan perkhidmatan mudah alihnya di bawah jenama redone di Thailand.
Pengarah redONE Network (Thailand), Surachet Chaipatamanont berkata, menerusi pelancaran itu, redONE memperkenalkan pelan Amazing bulanan yang menawarkan perkhidmatan pascabayar kos rendah bermula pada kadar paling murah iaitu hanya 99 baht sebulan.
Menurutnya, jenama itu kini memasuki pasaran Thailand dan terus berkembang dengan 93.3 juta pengguna mudah alih.
"Jenama ini mempunyai lebih 1 bilion baht dalam pelaburan jangka panjang.
"Pelaburan ini membolehkan kami memberikan perkhidmatan kepada pelanggan Thailand di bawah frekuensi rangkaian 2100 MHz dan 2300 MHz, meliputi 97 peratus kawasan perkhidmatan di Thailand dengan isyarat bermula dari 2G, 3G, 4G dan kemudiannya 5G,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan redONE, Farid Yunus berkata, redONE ditubuhkan di Malaysia pada tahun 2012 merupakan MVNO pertama yang menyediakan pelan bulanan kos rendah.
"redONE diterima dengan baik dan sejak itu pelanggannya meningkat menjadi 1.2 juta dan berjaya menerima pelbagai anugerah.
"Pada tahun 2019, jenama ini dilancarkan di Singapura dan redONE merancang untuk berkembang ke negara-negara ASEAN yang lain sebagai penyedia perkhidmatan MVNO terbesar di rantau ini menjelang 2022,” katanya.
Farid berkata, redONE berkeyakinan model perniagaannya telah terbukti berhasil di Malaysia dan dapat dieksport ke pasaran serantau lain.
"Di sebalik kesulitan yang disebabkan pandemik, redONE akan dilancarkan di negara lain sebelum akhir tahun ini sekali gus meliputi seluruh ASEAN,” katanya.