PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barang keperluan pengguna adalah mencukupi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini atau PKP 3.0.
Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Bahagian Penguat kuasa, bekalan barang-barang keperluan utama adalah mencukupi.
"Sehubungan itu, KPDNHEP ingin menasihati pengguna supaya membuat pembelian secara biasa dan dalam kuantiti yang perlu sahaja.
"Sebarang perubahan tingkah laku pengguna seperti membuat pembelian banyak dan tergesa-gesa akan menyebabkan gangguan terutama untuk rantaian bekalan setempat yang mencetuskan situasi panik dalam kalangan pengguna sedangkan ia bukan disebabkan oleh masalah bekalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada 10 Mei lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun.
Azman berkata, KPDNHEP sentiasa membuat pemeriksaan harian di seluruh negara bagi memastikan kecukupan bekalan terutama dalam tempoh pelaksanaan PKP.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa juga membuat pemantauan harian terhadap 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039 pemborong terpilih daerah dan 233 pengilang atau pengeluar terpilih daerah.
"Sehingga kini tiada situasi gangguan bekalan di peringkat pengeluar dan pengilang dikesan," katanya. - Bernama