ALOR SETAR - Kerajaan perlu menyediakan pelan rangsangan ekonomi bagi membantu peniaga kecil di Pekan Rabu Alor Setar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah Kota Setar bermula 19 Mei lalu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, peniaga di pekan itu sebelum ini memperoleh pendapatan tidak seberapa sepanjang Ramadan akibat kehadiran pengunjung berkurangan berbanding tahun sebelum ini.
Menurutnya, beliau difahamkan lebih 70 peratus pengunjung adalah mereka yang tinggal di luar Kota Setar dan dari negeri lain.
"Saya tidak mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan juga PKPD di Kota Setar namun, apa yang saya mahu persoalkan adalah mengenai pakej rangsangan ekonomi yang diberikan untuk membantu mereka bangkit semula.
"Selain itu saya mahu mempersoalkan apakah jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Kedah kepada pekerja di Pekan Rabu. Jika ditutup sudah tentu mereka akan hilang pendapatan," katanya semasa melakukan tinjauan di Pekan Rabu, Alor Setar pada Jumaat.
Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah berkata, kerajaan perlu melihat secara menyeluruh nasib peniaga kecil lain dan penjaja di seluruh negara sekiranya pelaksanaan PKP penuh mahu dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
Tambahnya, bantuan yang dihulurkan kepada golongan ini oleh kerajaan pada PKP 1.0 dan PKP 2.0 dilihat kurang memberikan impak dalam melonjakkan kembali pendapatan peniaga dan ekonomi negara.
"Kalau kerajaan memang mahu melaksanakan seperti PKP 1.0 semula, kerajaan perlu merangka apa pakej rangsangan ekonomi yang perlu bagi membantu golongan-golongan ini.
"Saya minta kerajaan dahulukan apa bantuan yang perlu disalurkan kepada peniaga-peniaga ini seperti di Pekan Rabu termasuk peniaga-peniaga lain seperti di pasar malam, pasar tani, pasar pagi dan pelbagai lagi," katanya.