85 kertas siasatan kes penipuan jual beli online dibuka

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

PETALING JAYA - Polis telah membuka sebanyak 85 kertas siasatan berkaitan kes penipuan jual beli dalam talian membabitkan anggaran kerugian RM650,809.40 sejak Januari hingga Mei.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, 21 kes telah dituduh di mahkamah.

Iklan
Iklan

"Kita banyak menerima laporan polis berhubung dengan kes-kes melibatkan jenayah siber dan multimedia khususnya berkaitan penipuan pembelian barangan secara dalam talian seperti di Mudah.my, Facebook, Instagram dan platform lain," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, perniagaan dalam talian ini mempunyai risiko yang tinggi dari segi penipuan.

Iklan

"Pada masa kini, rakyat menjual pelbagai barangan secara dalam talian bagi meneruskan perniagaan mereka dan memudahkan pelanggan untuk mendapatkan barangan.

"Namun, terdapat juga penjual yang telah mengambil kesempatan untuk menipu pelanggan dalam urusan jual beli," katanya.

Iklan

Justeru, Mohamad Fakhrudin menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran penjualan yang diiklankan.

"Orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu sebelum pembayaran dilakukan. Semakan boleh dilakukan di laman ccid portal, http://ccid.rmp.gov.my sebagai pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan atas talian," katanya.