GOMBAK - Rakyat tidak mengharapkan bantuan daripada kerajaan sepenuhnya, sebaliknya mereka mahukan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak mencengkam kehidupan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehuddin Amiruddin berkata, penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu menganggu kehidupan rakyat terutamanya peniaga di Selangor.
Beliau yang turun padang di Dewan Serbaguna Kuang, di sini meninjau suasana ujian saringan Covid-19 berkata, rakyat keliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat yang mengganggu perniagaan mereka.
"Saya menerima banyak rungutan daripada peniaga di sini kerana mereka keliru dengan SOP yang mengganggu perniagaan harian.
"Kita kena ingat mereka tidak menerima pendapatan bulanan dan bukan golongan yang senang.
"Mereka tidak harapkan bantuan daripada kerajaan sepenuhnya kerana mereka tetap berusaha mencari rezeki, tapi jika kita tidak menangani isu pandemik ini dengan serius, usahakan sesuatu yang lebih baik daripada ini,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sallehuddin berkata, negeri lain perlu mencontohi inisiatif yang diambil oleh kerajaan Selangor untuk mengadakan ujian saringan percuma di negeri tersebut.
Ujarnya, kerajaan Selangor yang diketuai Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari lebih terkehadapan dalam menangani pandemik Covid-19 bebanding negeri-negeri lain.
Beliau berkata, langkah itu sepatutnya didahului oleh kerajaan Pusat dan dilaksanakan ketika PKP 2.0 enam bulan lalu bagi mengekang penularan Covid-19.
"Ujian saringan begini sepatutnya dilakukan lebih awal kerana kita melihat ada kelompongan terhadap saringan ini disebabkan ia tidak dijalankan di seluruh negara.
"Kerajaan sepatutnya boleh adakan ujian saringan percuma ini di seluruh negara ketika darurat diadakan mengikut kampung, daerah dan sebagainya.
"Tapi nampaknya kerajaan Pusat tidak buat, menyebabkan Covid-19 terus merebak, merisaukan rakyat dan mengganggu ekonomi serta pekerjaan.
"SOP yang bertukar-tukar juga menjadi duri dalam daging rakyat, yang mana ia gagal membantu untuk kurangkan kes Covid-19,” katanya.
Pada 8 Mei, kerajaan Selangor melaksanakan program saringan Covid-19 secara percuma di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap hari meliputi seluruh 56 DUN di negeri itu.
Amirudin berkata, program tersebut bermula di DUN Kajang dan Semenyih yang diadakan pada 8 Mei hingga 10 Jun depan.
Katanya, langkah tersebut diambil memandangkan trend peningkatan kes Covid-19 harian sejak beberapa minggu lalu dan kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos saringan berkenaan.