Projek solar sekolah: Bekas menteri beri keterangan di SPRM

Iklan
SPRM
PUTRAJAYA - Bekas menteri yang bergelar ‘Datuk Seri’ dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Sumber SPRM memberitahu ahli Parlimen itu menaiki Mercedes-Benz tiba di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira 10 pagi.

"Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan ditahan atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang bekas menteri bakal ditahan SPRM hari ini dan dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok.

Pada 15 November lalu, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bersama bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor didakwa menerima rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar berkenaan.

Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Rizal pula menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin. - Bernama